Pengenalan
Kunci kepada pembelajaran ialah memaknakan pengalaman dalam bilik darjah. Bilik pembelajaran yang bermakna, akan menjadikan setiap masa kehidupan bersekolah akan menjadi suatu kehidupan yang bermanfaat, dan tidak disia-siakan. Maka, kunci kepada kehidupan yang bermanfaat pula terletak kepada fakulti terpenting yang membezakan manusia dengan makhluk lain, iaitu fakulti akal fikiran. Lantas, menetaskan suatu bilik darjah yang membina dan membangunkan fakulti ini amat penting dalam mencirikan sekolah masa hadapan.
Bilik Darjah Berfikir ialah suatu set penetapan persekitaran (setting of environment) yang menerapkan pembangunan fakulti pemikiran dalam makna yang sebenar diaplikasikan. Sesungguhnya, berfikir memerlukan masa. Maka, guru perlu membina ‘masa berfikir’ dalam proses pengajaran, proses perbincangan, dan aktiviti dalam bilik darjah. Selain itu, guru perlu sedar bahawa setiap murid istimewa dalam pelbagai segi. Kebitaraan (intelligence) setiap murid perlu dicungkil dan ditonjolkan melalui pengalaman pedagogikal kritikal bagi setiap murid mengasah kebitaraan mereka. Lantas, guru perlu sedar bahawa kebitaraan boleh dipelajari!
Daripada perspektif Islam, hasil pemikiran seharusnya bertujuan untuk mencapai kebijaksanaan (hikmah). Hikmah bermakna mengetahui batasan-batasan yang telah digariskan oleh Allah, membezakan antara hubungan dengan Allah, dengan sesama insan, serta dengan makhluknya yang lain, memberi keputusan terbaik, dan membuat pertimbangan yang adil (Rosnani, 2013). Justeru, kemahiran berfikir akan menjadikan seseorang itu menjadi hamba Allah yang baik, serta Khalifah Allah yang berfungsi dengan baik.
“Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang diberi hikmah, maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal”
(Al Baqarah, 2: 269)
Bilik Darjah Berfikir
Prinsip Bilik Darjah Berfikir terletak kepada kualiti pembelajaran murid yang bergantung kepada sejauh mana murid berfikir tentang tugasan mereka. Walau bagaimanapun, tahap pemikiran pula bergantung kepada konteks situasi sebenar yang menyediakan pelbagai pemboleh ubah untuk mencabar proses pemikiran (Crowl et al., 1997). Jadi, adalah sangat penting untuk mengajar murid bagaimana untuk berfikir dan belajar dengan berfikir. Falsafahnya, pembelajaran adalah kesan kepada pemikiran yang baik, atau dengan kata lain, murid tidak akan dikatakan belajar sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh untuk berfikir dalam proses pembelajaran itu.
Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk guru menjana nilai dan menguruskan kemahiran berfikir murid, gaya pembelajaran murid, dan profail kepelbagaian kebitaraan murid dalam memastikan keberhasilan bilik darjah berfikir. Contohnya, murid yang secara konsistennya menunjukkan suatu corak pembelajaran menggabungkan idea baharu kepada pengetahuan sedia ada mereka, menelusuri dan menerokai penjelasan yang mungkin tersembunyi atau tidak jelas, atau memikirkan tentang kekuatan dan kelemahan dalam pemikiran mereka sendiri; Murid ini akan membina pemahaman yang mendalam dalam bidang ilmu berkenaan dan mungkin merentasi kurikulum, berbanding dengan mereka yang tidak melalui pengalaman ini.
Bilik darjah berfikir juga perlu kepada sikap yang terbuka tentang sifat pengetahuan dan sifat berfikir untuk mencipta suatu atmosfera pembelajaran, seperti bercakap tentang pemikiran. Contohnya, menanyakan soalan, menjangkakan, memberikan pandangan kontradik, menyatakan keraguan, dan sebagainya yang bukan sahaja ditoleransikan, malah diburu secara aktif. Dengan kata lain, melayani ragam pandangan berbeza yang diutarakan murid, dan sesama murid dengan sikap positif; suatu yang pada pandangan pengamal pendidikan tradisional dianggap kurang ajar atau biadab.
Bilik Darjah Berkomunikasi
Kita perlu menginsafi bahawa pembelajaran ialah berkaitan mencari makna. Maka, membina bilik darjah berfikir mesti meletakkan murid sebagai watak aktif yang mencari makna atau mencipta pengetahuan mereka sendiri, yang akhirnya membina suatu pentafsiran milik mereka. Namun, bagi mengelakkan risiko salah faham, atau kekeliruan dalam memahami makna sebenar sesuatu ilmu, atau pada masa yang sama meningkatkan sikap murid dalam tugasan yang memerlukan mereka berfikir, guru perlu menyediakan murid dengan instruksion yang jelas bagi tugasan berkaitan, seperti yang dicadangkan oleh Hines, Cruickshank, dan Kennedy: serta Snyder et al (Dipetik dalam Kauchak & Eggen, 1998). Ringkasnya, mantapkan komunikasi.
Dengan komunikasi berkesan dan menggalakkan perbualan antara murid dan guru, semua pihak sebenarnya boleh belajar untuk berfikir secara lebih cekap, dan komunikasi secara lebih berkesan melaui proses memodelkan (modelling) dan mewakilkan (representing). Tambahan pula, apabila murid terlibat dalam perbualan, mereka akan menggunakan gaya bahasa mereka sendiri, dan sesungguhnya bahasa akan mencipta makna. Oleh sebab itu, perbualan tersebut akan mengayakan kosa kata pemikiran murid yang akhirnya akan melahirkan ketepatan istilah, dan kedalaman pemahaman. Contohnya, penggunaan istilah ‘buktikan’, ‘simpulkan’, ‘inferen’, ‘rumuskan’, ‘teka’, ‘analisiskan’, ‘spekulasikan’, dan lain-lain. Sudah tentu, murid berkomunikasi melalui proses membuat perkaitan dengan pengetahuan sedia ada. Tugas guru pula, menggalakkan murid mereka untuk membuat perkaitan dengan idea baharu sama ada berasaskan pengalaman di dalam atau di luar sekolah.
Bilik Darjah Inkuiri
Selain itu, bilik darjah berfikir memberi fokus kepada pengetahuan dan cara penyelesaian masalah, dengan menggunakan pembuktian dan penerokaan garis-garis inkuiri dalam disiplin bidang tersebut. Maka, guru perlu menyediakan ruang dan peluang untuk mempraktikkan penyelesaian masalah (Kauchak & Eggen, 1998; Howe & Warren, 1989) dengan:
- Menyediakan latihan bersifat teacher-directed sebelum latihan yang bersifat bebas, pemeriksaan mengejut (spot-checking) perkembangan latihan, dan memberikan maklum balas ringkas kurang daripada 30 saat kepada sebarang isu untuk membantu. (Fisher et al.,; McGreal; both cited in Kauchak & Eggen, 1998).
- Memberikan tugasan kerja rumah ringkas, tetapi kerap. Tugasan perlulah mengembangkan dan meneruskan kompleksiti tugasan di dalam bilik darjah (Kauchak & Eggen, 1998).
- Mengaitkan latihan tugasan akademik dengan situasi harian dan situasi yang lebih kompleks (Kauchak & Eggen, 1998).
Namun, kaedah inkuiri sebegini tidaklah begitu mudah seperti mana yang ditulis, dan mestilah dianggap sebagai proses bukan-linear. Brenda, dalam tesisnya, ‘A description of the genesis development and implementation of the comprehensive school mathematics program’ merumuskan yang inovasi instruksional, yang menekankan kaedah inkuiri atau pembelajaran berasaskan penerokaan, “... sering kali menghasilkan impak yang kecil kepada murid disebabkan kelemahan dalam struktur, berbanding dengan fungsi pembelajaran yang bersifat ikut arahan guru (rule-obedience)...” Malah, banyak ilmuwan menyokong kenyataan ini, seperti Brant, Fey, Robitaille, dan Dirks (Brenda, 1986, p.48). Ini menunjukkan bahawa penstrukturan dalam pedagogi merupakan suatu yang penting bagi memastikan kaedah inkuiri boleh dilaksanakan dengan baik dalam bilik darjah. Dengan kata lain, perkara yang baik, perlu direncanakan dengan betul, berstruktur dan berukun agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Bilik Darjah Kritikal dan Kreatif
Selain itu, murid perlu ada sikap kritikal terhadap sebarang maklumat yang dibekalkan guru. Ini akan menyokong kemahiran proses kognitif supaya lebih dinamik, yang mana ini sangat penting untuk meningkatkan pembelajaran. Murid akan pergi lebih jauh, melangkaui maklumat yang dibekalkan guru dengan berinteraksi secara sistematik dan fleksibel dalam situasi yang pelbagai.
Selain itu, murid juga mesti diajar secara eksplisit ‘bagaimana untuk berfikir’ – belajar secara bermakna, menjadi fleksibel, dan membuat penilaian yang munasabah. Maka, kemahiran mendengar penjelasan murid oleh guru menjadi sangat signifikan, bukan sebaliknya. Dalam bilik darjah yang secara tradisional yang kita lalui, guru bersyarah denngan murid mendengar syarahan cikgu. Namun, dalam bilik darjah berfikir, guru, tidaklah pula berdiam sahaja, malah perlu secara langsung, memperkenalkan, menjelaskan, dan menerangkan jenis pemikiran yang guru mahukan daripada murid. Oleh itu, guru perlu merangsang persekitaran kreatif bagi menggalakkan murid terlibat dalam peluang untuk berfikir dan meluahkan pemikiran mereka, yang mereka kesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Kata kuncinya, ialah memberikan rangsangan persekitaran kreatif.
Terdapat beberapa ciri persekitaran kreatif dalam bilik darjah berfikir. Antaranya ialah menyediakan ruang untuk memberikan maklum balas berkaitan pembelajaran. Contohnya, penilaian kendiri, penilaian rakan sebaya, dan penilaian guru. Kesemua ini memberikan ruang kepada murid dengan maklumat berharga tentang sejauh mana mereka berfikir dan belajar. Aktiviti refleksi sebegini akan menambah pemahaman murid akan gaya pembelajaran mereka. Oleh sebab itu, bilik darjah berfikir akan menyediakan murid dengan kemahiran dan peluang untuk menjadikan mereka pemerhati dan pengurus pemikiran yang lebih baik. Salah faham yang sering kali berlaku dalam bilik darjah ialah apabila refleksi itu menjadi milik mutlak guru, bukan murid.
Tugasan Kreatif
Berkaitan dengan tugasan pula, adalah sangat penting untuk menyediakan tugasan yang tidak tipikal; tugas yang biasa-biasa, tetapi tugasan yang ada ‘keterbukaan’ dan ‘ketidaktentuan’ bagi menjadikan murid lebih kreatif. Ini disebabkan kreativiti melibatkan pemikiran mencapah dan menumpu bagi menghasilkan idea baharu (Crowl et al., 1997). Kedudukannya dalam jaringan kemahiran berfikir aras tinggi telah diartikulasi oleh pemerhatian Pasteur yang mana disebut “chance favours only the prepared mind” disebabkan “only a trained mind can make connections between unrelated events, recognize meaning in a unexpected event”, dan akhirnya menghasilkan penyelesaian yang tulen dan bersesuaian (Crowl et al., 1997, p.192-193).
Di samping itu, kreativiti juga melibatkan pemilihan aspek tugasan yang relevan dalam suatu permasalahan serta menyusun atur penyelesaian masalah berkenaan dalam sistem yang koheren, yang menyepadukan maklumat baharu dengan maklumat sedia ada (Sternberg &
Davidson, 1995; Crowl et al., 1997, p.169). Maka, penilaian tahap tinggi perlu diberi penekanan bagi menterjemahkan makna atau keputusan, atau menghasilkan penyelesaian yang pelbagai. Malah, aktiviti perantara sosial juga (socially-mediated) perlu direka dengan teliti daripada perspektif kemahiran berfikir, disebabkan murid berupaya mereka konsepsi sendiri, dan salah faham konsepsi ke dalam bilik darjah. Contohnya, sekiranya suatu permasalahan timbul secara tiba-tiba dalam perbincangan di bilik darjah, guru perlu merebut peluang ini untuk membina aktiviti tambahan atau sokongan bagi menjadikan pembelajaran koheren dengan kurikulum atau objektif pembelajaran.
Selain itu, pengetahuan baharu dan strategi alternatif bagi penilaian juga perlu dibina secara sosial (socially-constructed) dalam bilik darjah, bukan sahaja melalui maklumat yang diberikan guru, tetapi juga melalui aktiviti, dialog, refleksi dan perbincangan yang praktikal bersama-sama rakan sebaya dan orang dewasa. Di sini, kita perlu kaitkan dengan pendekatan Pentaksiran Sekolah, atau lebih dikenali dengan Pentaksiran Bilik Darjah yang pada semangat dan pelaksanaannya, memberikan kuasa penuh kepada guru untuk membuat penilaian melalui pengalaman yang autentik tersebut.
Penutup
Bilik darjah berfikir juga akan mempunyai implikasi bukan sahaja kepada pemikiran murid, tetapi juga kepada pembangunan keguruan, penilaian keguruan, dan akhirnya membudayakan sekolah sebagai komuniti pembelajaran. Bilik darjah berfikir perlu menjadi asas kepada sekolah berfikir. Sikap ialah kunci segalanya, dan prinsipnya ialah mencipta persekitaran pendidikan yang mempromosikan berfikir.
Secara ringkas, mengajar berfikir ialah berkaitan menyemai tabiat mental yang baharu. Murid mungkin tidak menjadi profisien dalam analisis yang mendalam secara segera, tetapi kadang-kala, perlu ada kesedaran bahawa proses mental dalam membuat keputusan mampu memberikan pencerahan kepada murid dan seterusnya mendedahkan mereka kepada dunia yang lebih luas. Apa lagi, permasalahan sebenar yang kompleks sering kali juga mengharapkan kepada penyelesaian yang kompleks, yang hanya diperolehi melalui proses pemikiran aras tinggi.
“...Tidak kira apa pegangan yang seseorang pegang berkaitan fungsi utama pendidikan, mereka sekurang-kurangnya bersetuju bahawa manusia perlu belajar untuk befikir. Dalam masyarakat yang pantas berubah, individu tidak boleh bergantung kepada tingkah laku yang rutin atau mengikut tradisi dalam membuat keputusan, sama ada berkaitan kehidupan seharian, kehidupan profesional, nilai moral, atau berkaitan isu politik. Dalam masyarakat yang sebegini, ada kebimbangan sama ada individu berupaya secara intelek dan berfikir secara bebas”
(Taba 1962:49)
Oleh sebab itu, mengajar kemahiran berfikir aras tinggi perlu menyediakan murid dengan kemahiran hidup yang relevan kepada mereka. Tawarkan manfaat tambahan dalam membantu mereka untuk meningkatkan pengetahuan kandungan, kemahiran berfikir asas, dan harga diri. Lambat laun, murid akan menjadi pemikir kritikal yang lebih baik sekiranya mereka sanggup untuk mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di dalam bilik darjah. Murid akan melalui kehidupan seharian tanpa menyedari bahawa berfikir sudah menjadi kelaziman mereka. Inilah pengalaman pembelajaran yang bermakna; pembelajaran untuk kehidupan, pembelajaran dalam sekolah masa hadapan.