Faktor Pencapaian Murid: Sorotan Kajian





Pengenalan


Pada awal 1970an, kejayaan murid dikorelasikan dengan proses dalam bilik darjah (Brophy & Evertson, 1974; Stallings & Kaskowitz, 1974; Clark, 1979). Walau bagaimanapun, model klasik proses-produk beransur-ansur kehilangan signifikannya. Ini disebabkan kemunculan kajian baharu, contohnya dalam ‘Handbook of Research on Teaching’ mencadangkan versi model yang lebih holistik dengan memasukkan pemboleh ubah latar persekitaran dan indikatornya (Wittrock, 1986, chapters by Shulman, Brophy & Good, etc.). Dalam model ini, proses-produk dikatakan hanya memberikan pengaruh secara tidak langsung. 


Shulman (1986) menegaskan bahawa terdapat pelbagai lagi konteks yang mempengaruhi pencapaian murid seperti latar dan persekitaran guru dan murid, kandungan kurikulum, termasuklah proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Maka, model yang diketengahkan ini mencadangkan idea intervensi bagi membina asas kepada strategi yang lebih luas bagi menyepadukan pengajaran dan pembelajaran. Murid akan membina ilmu pengetahuan melalui proses berinteraksi dengan persekitaran mereka yang kompleks termasuk persekitaran rumah, rakan sebaya, persekitaran dan budaya sekolah, serta lain-lain sumber pengaruh latar dan persekitaran.  


Faktor Masa


Selain itu, hasil model Carroll (1963, semakan 1989) meletakkan ‘peruntukan masa’ sebagai elemen penting. Carroll merumuskan bahawa menjadikan ‘masa pembelajaran’ optimum merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam meningkatkan pencapaian murid. Daripada model 1963, beliau juga turut mengungkapkan beberapa elemen tambahan, seperti kualiti pengajaran (instruction), peluang untuk belajar, dan keupayaan murid dalam kerangka masa yang diperuntukkan. 


Faktor Diri Sendiri


Dalam konteks diri murid itu sendiri, terdapat tiga ciri yang penting, iaitu keupayaan murid, kecenderungan murid, dan ketabahan murid dalam kerangka pembelajaran berkenaan. Dalam konteks peluang untuk belajar pula dapat direfleksikan dengan masa belajar (contact hours) yang sebenarnya. Masa untuk sesuatu ilmu dipelajari juga merupakan refleksi kepada kualiti pendidikan. Sheerens dan Bosker (1997), dan Marzano (2003) juga bersetuju kepada kesimpulan ini. Menariknya, banyak komponen dalam teori pengajaran dan pembelajaran muncul daripada model Carrol ini (OECD, 2004).


Faktor pengajaran dan pembelajaran


Selain daripada itu, bagi memastikan pencapaian murid meningkat, berdasarkan Bloom dan De Corte, pengajaran dan pembelajaran perlu berada dalam situasi aktif; Ini termasuk aspek yang dipanggil pro-aktif, inter-aktif, dan retro-aktif. Situasi pro-aktif dimaksudkan dengan hal yang berkaitan perancangan pengajaran dan pembelajaran. Situasi inter-aktif pula termasuk hal berkaitan pelaksanaan kandungan kurikulum dalam bilik darjah, manakala situasi retro-aktif pula termasuk operasi psikologi dan pertimbangan didaktik bersama-sama murid seperti unsur refleksi, pentaksiran, penilaian, dan mendapatkan maklum balas murid (Bloom, 1971: De Corte et. Al, 1973).    


Faktor meta-kognitif


Dalam aspek instruksional, meta-kognitif dalam strategi pembelajaran turut menjadi faktor yang memberi kesan kepada pencapaian murid. Walaupun berdasarkan maklumat daripada OECD, 2010 menunjukkan bahawa terdapat kesukaran dalam mengkaji faktor ini dalam PISA, Wang, Haertel dan Walberg (1994) mendakwa bahawa strategi-strategi pembelajaran sebegini memainkan impak yang tinggi dalam pencapaian murid. Pemboleh ubah strategi pembelajaran yang digunakan dalam PISA yang digunakan murid ialah strategi mengingat atau melatih tubi, strategi penghuraian (elaboration strategy) dan strategi kawalan (control strategy). Strategi mengingat termasuklah pengulangan dan mengingat kaedah prosedural langkah-demi-langkah. Strategi penghuraian pula seperti murid meneroka pelbagai kemungkinan jalan penyelesaian yang dilalui menerusi pengalaman kehidupan seharian dengan mengaitkannya kepada pengetahuan sedia ada. Strategi kawalan pula ialah strategi bagi menyelesaikan suatu permasalahan berasaskan kandungan yang telah dipelajari berdasarkan permasalahan yang telah ditemukan dalam pembelajaran di dalam kelas.


Sebagai faktor tambahan, terdapat dapatan kajian yang menunjukkan bahawa murid yang terlibat dalam suasana pembelajaran yang kompetitif lebih cenderung untuk berpencapaian tinggi berbanding murid yang tidak berada dalam suasana ini (OECD 2010, p.103). Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan, pembelajaran kooperatif sebagai metod pembelajaran yang digemari murid pula, tidak memberikan korelasi kepada pencapaian. Malah, dapatan menunjukkan terdapat unsur kecenderungan setempat (cultural bias) yang menjadikan pembelajaran secara kooperatif sukar dirumuskan (dalam kajian PISA) bagi menunjukkan keberkesanannya dalam meningkatkan pencapaian. Selain itu, ciri murid seperti aras keyakinan diri, mungkin meningkatkan ciri atau nilai faktor kejayaan.


Faktor disiplin bilik darjah


Menariknya, faktor instruksional yang berkisar tentang iklim kawalan disiplin memberikan korelasi tertinggi dalam peningkatan prestasi untuk banyak negara (OECD, 2010, p.107). Iklim kawalan disiplin merujuk kepada kualiti persekitaran bilik darjah yang menjadikan pembelajaran kondusif. Seperti yang dinyatakan dalam laporan itu, “... merujuk kepada bilik darjah yang efisien, bebas daripada gangguan, yang mana sikap dalam menjalankan tugasan bilik darjah (on-task) dapat di maksimumkan.” (OECD, 2010, p.128). Marzano, 2003 bersetuju dengan dapatan ini, dan beliau rumuskan dalam ‘What Works in Schools: Translating Research into Action’ (Apa yang berkesan dalam sekolah: Menterjemahkan Kajian kepada Tindakan), yang memberikan suatu model tindakan dengan 12 faktor yang menjadikan sekolah berkesan; 5 faktor peringkat sekolah, 3 faktor peringkat guru, 3 faktor peringkat murid, dan 1 faktor paling kritikal, iaitu kepimpinan sekolah. 




Fokus sekolah masa hadapan yang mana menjadi ciri penting yang menjadi perhatian ialah 3 faktor peringkat guru yang berfokus kepada usaha penambahbaikan dalam bilik darjah, iaitu: 


  1. Pengurusan bilik darjah dengan peraturan dan prosedur asas yang diikuti dan dipersetujui warga bilik darjah, melaksanakan tindakan disiplin, dan memastikan hubungan guru-murid yang berkesan dijaga dan dikekalkan.
  2. Reka bentuk kurikulum bilik darjah yang berkesan mampu memberikan suasana pembelajaran yang menarik, teratur, dan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. Guru mempunyai kuasa dan kawalan sepenuhnya dalam memenuhi masa dalam pengajaran dan pembelajaran.
  3. Strategi instruksional, yang mana pengetahuan dan keupayaan guru untuk mengaplikasikan strategi berasaskan kajian pada waktu-waktu yang sesuai bagi memaksimumkan pembelajaran murid.  


Penutup


Sebagai rumusan dalam memahami fakor pencapaian murid, jelas bahawa struktur kurikulum dan strategi instruksional merupakan kriteria utama yang menjadikan pengalaman pembelajaran bermakna dalam bilik darjah seterusnya memberikan suasana latar pembelajaran berkesan dalam meningkatkan pencapaian murid. Dalam artikel ini, penulis mencadangkan agar strategi bagi mencipta situasi aktif dalam bilik darjah digunakan dalam model Sekolah Masa Hadapan. Membina ekologi ‘bilik darjah berfikir’ (thinking classroom) akan menjadi fokus utama bagi meningkatkan pencapaian murid dalam pembelajaran, seterusnya menepati deskripsi standard antarabangsa seperti dalam kajian TIMSS dan PISA.