Pendidikan Alam Sekitar dan Kesukarelaan



Tbilisi Declaration 1977 adalah titik permulaan yang amat penting dalam sektor pendidikan serantau dunia di mana semua negara-negara yang menyertai persidangan ini telah sebulat suara mengistiharkan kepentingan peranan pendidikan alam sekitar dalam mencapai kelestarian di antara pertumbuhan masyakat dan alam sekitar yang seimbang (UNEP, 1978). Hasil daripada koferen ini ialah dengan terwujudnya cadangan-cadangan yang boleh diamalkan oleh semua negara ahli bagi membangunkan pendidikan alam sekitar di peringkat kebangsaan, serantau mahu pun global. Di antara cadangan tersebut ialah penekanan ke atas penyertaan daripada pelbagai sektor pembangunan dalam sesebuah negara iaitu ekonomi, politik, perundangan dan masyarakat secara umumnya. 


Melihat dari sudut pandangan mikro, pendidikan alam sekitar adalah berkaitan secara langsung dengan peranan masyarakat seterusnya ini dapat memberi gambaran umum kualiti pendidikan sekolah di sesebuah negara tersebut. Pendidikan alam sekitar juga berkeupayaan dalam pembentukan perubahan tingkah laku pelajar yang positif (Chawla & Cushing, 2007; Hungerford & Volk, 1990).  Daripada konteks ini, kami mendapati terdapat perkara yang boleh diberikan perhatian atau tindakan selanjutnya dalam pembangunan pendidikan alam sekitar terumanya di peringkat sekolah bagi negara Malaysia. 


Sinergi masyarakat setempat dan pihak sekolah


Satu sudut yang kami ingin lihat secara terperinci adalah mewujudkan sistem kesukarelaan di antara masyarakat setempat dan pihak sekolah. Kumpulan sukarelawan ini terdiri daripada kalangan masyarakat berhampiran di sekolah terbabit. Kumpulan sukarelawan tersebut dapat bekerjasama dengan mengadakan atau menyertai program pendidikan alam sekitar yang dijalankan oleh sekolah tersebut. Secara tidak langsung, hal ini juga dapat membantu khususnya para guru untuk mengendalikan program pendidikan alam sekitar
di sekolah tersebut. 


Dengan adanya para sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kemahiran serta pengalaman dalam bidang berkaitan alam sekitar dapat meningkatkan pengetahuan serta kesedaran alam sekitar di kalangan pelajar di sekolah. Perkara ini juga berupaya untuk mewujudkan rasa kebertanggungjawaban yang tinggi mengenai isu alam sekitar dalam kalangan semua pihak yang terlibat terutamanya para pelajar sekolah (Kudryavtsev, Stedman, & Krasny, 2012).


Pelajar-pelajar di universiti yang berhampiran di sekolah itu juga boleh memainkan peranannya dengan lebih signifikan dalam usaha sama dan penyertaan kesukarelaan pendidikan alam sekitar bersama-sama masyarakat setempat dengan para pelajar di peringkat sekolah (Savan, Morgan, & Gore, 2003). Kegiatan seperti ini juga mudah mendapat rangsangan dengan sokongan dan penglibatan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak penaja luar, maka dengan itu program yang akan dijalankan itu berpotensi mendapat liputan publisiti dan kredibiliti yang lebih besar (Wilson, 1996).


Aktiviti-aktiviti yang diadakan melalui cara ini amat bersesuaian juga dengan aktiviti fizikal luar sekolah atau melalui latihan dalam kumpulan di dalam sekolah. Keseluruhannya pembangunan dan kefahaman pendidikan alam sekitar menerusi sistem kesukarelaan ini dapat mengerakkan penglibatan masyarakat, pelajar dan pihak sekolah secara lebih produktif dan efisyen. Dengan penyertaan kesukarelaan daripada penduduk setempat yang berhampiran dengan sekolah bukan sahaja meningkatkan kerjasama di antara pihak sekolah dan penduduk, malah ia dapat memastikan hubungan kerjasama tersebut akan lebih erat dan berkekalan (Stern, Powell, & Ardoin, 2008). Secara tidak langsung peranan dan kerjasama para ibu bapa dengan pihak sekolah juga akan terjalin lebih akrab melalui program pendidikan alam sekitar ini (Tali Tal, 2004).


Amalan di negara lain


Di antara contoh negara maju Asia yang telah lama mengamalkan konsep seperti ini ialah negara Jepun, di mana para sukarelawan sesebuah masyarakat setempat turut membantu pihak sekolah dalam program-progam pendidikan alam sekitar mereka seperti program kitar semula atau pemeliharaan serangga sensitif seperti pepatung di sekolah mereka. Secara langsung, aktiviti seperti ini dapat mengaitkan hubungan mental, fizikal dan emosi pelajar dalam memahami konsep pendidikan alam sekitar yang dijalankan melalui program tersebut dengan lebih baik. 


Maka pendekatan ini, berupaya memberikan impak yang lebih berkesan dalam pembangunan minda dan keperibadian pelajar sewaktu muda seterusnya meningkatkan lagi tahap kesedaran serta menghargai alam sekitar di sekeliling mereka. Kesan daripada perkara ini, pelajar Jepun mampu memaparkan etika yang terpuji dengan meletakkan nilai yang tinggi ke atas pemuliharaan alam sekitar di tempat mereka serta menghindari peri laku anthropocentrism (Amemiya, Koji; Macer, 1999). Terdapat kajian telah menunjukkan penyertaan aktiviti-aktiviti seperti ini yang bermula di peringkat pra-sekolah dapat memberi kelaziman dan pendedahan terawal ke atas program pendidikan alam sekitar kepada pelajar sejak mereka kecil hingga besar (Wilson, 1996).


Antara faktor kebaikan lain kepada pelajar ialah ia memberi satu contoh terbaik
di dalam membentuk dan memupuk semangat kesukarelaan yang lebih tinggi di dalam diri pelajar terbabit. Hal ini dapat memberi kelangsungan jangka masa panjang ke atas pembentukan masyarakat yang boleh menyumbang tenaga dan ilmunya semula kepada masyarakatnya sendiri. Kesan tersebut adalah selari dengan kajian yang telah dijalankan ke atas pelajar di Amerika di mana penyertaan aktiviti kesukarelaan semasa umur muda akan menghasilkan hubung kait yang positif ke atas kognitif dan afektif mereka apabila mencapai umur dewasa (Linda, Alexander, & Juan, 1999).


Sistem kesukarelaan dalam pendidikan alam sekitar ini juga boleh diwujudkan melalui proses secara lebih bersistematik, contohnya melaksanakan kursus-kursus kompetensi umum atau program latihan fasilitator yang dikendalikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama kementerian-kementerian yang berkaitan. Negara Thailand contohnya telah memperkenalkan pelaksanaan sistem prototype “Training the Trainer” (TOT) dalam kesukarelaan pendidikan alam sekitar yang mana ia dapat memberi impak yang baik kepada para peserta yang terlibat dalam penyampaian pendidikan alam sekitar kepada pelajar atau masyarakat (Nongnapas, 2012). 


Secara keaseluruhanya, setiap program pendidikan alam sekitar yang akan dilaksanakan di sekolah perlu menempuh cabaran dan pada masa yang sama berpeluang untuk proses penambahbaikan. Beberapa cabaran yang bakal dikenalpasti adalah seperti keperluan objektif yang amat jelas bagi setiap program yang bakal dilaksanakan, proses penilaian berterusan keatas program, mempunyai ciri-ciri keperbagaian dalam program, dan tempoh masa yang bersesuaian bagi program tersebut (Kudryavtsev et al., 2012). 


Kesimpulan


Kesimpulannya sistem kesukarelawanan melalui pendidikan alam sekitar amat berpotensi memberi satu rasional baru kepada keseluruhan sektor yang terlibat terutamanya dalam kelompok guru, pentadbir pendidikan, masyarakat setempat, badan bukan kerajaan, institusi penaja, dan khususnya para pelajar di sekolah. Dengan memberikan ruang dan peluang bagi sistem kesukarelaan ini dilaksanakan di seluruh sekolah dalam negara bagi tempoh percubaaan selama sepuluh tahun bakal memberikan suatu input berguna, selanjutnya yang boleh dinilaikan semula oleh para penyelidik tempatan bagi penentukan sama ada ianya berkesan atau tidak dalam konteks pendidikan alam sekitar bagi negara kita. Pada pandangan kami, segala faktor utama penentuan kejayaan perlaksaan berkaitan pendidikan alam sekitar dalam negara adalah tertakluk kepada susun atur perkara-perkara keutamaan dalam kehidupan kita yang sebenarnya ditentukan oleh diri masing-masing.