Pendidikan Karakter: Perspektif Agama dan Budaya

 PENDIDIKAN KARAKTER: PERSPEKTIF AGAMA DAN BUDAYA

Oleh: Allayarham Dato' Dr. Siddiq Fadzil




Mukaddimah


Apabila Zaaba (Zainal Abidin bin Ahmad) berbicara tentang “Kemiskinan Orang Melayu’ pada tahun 1927, yang menjadi fokus sorotannya adalah “kemiskinan perangai”. Beliau menyenaraikan sejumlah sifat negatif masyarakat melayu yang menjadi kendala pencapaian kemajuan. Demikian juga apabila lima puluh tahun kemudian (1977), Mochtar Lubis berbicara tentang manusia Indonesia, dengan menyenaraikan sejumlah ciri negatif yang secara umum ada pada bangsa Indonesia. Hingga ke saat ini belum ada usaha yang serius menangani masalah moral deficit yang sedang menimpa bangsa ini. Hampir setiap hari kita membaca atau mendengar berita tentang pelbagai kisah kebejatan moral; rasuah, penyelewengan, penipuan, pembaziran, pencabulan, kecurangan, kebiadaban, dan lain-lain yang melibatkan semua golongan, termasuk elit kepimpinan. 


Tanpa suatu gerakan moral yang berkesan, wajah bangsa ini akan tampak semakin hodoh. Kita harus berani bersikap jujur, dan tidak bertindak bebal, “buruk rupa, cermin dibelah.” Dalam kaitan inilah, relevannya wacana pendidikan karakter sebagai bahagian daripada usaha membangun semula watak bangsa sesuai dengan nilai-nilai agama dan budaya yang kita warisi.


Pendidikan karakter dalam Wacana Masa Kini


Pendidikan karakter banyak dikaitkan dengan pemikiran seorang sarjana German, F.W. Foerster (1869 – 1966). Beliau menilai teori-teori pendidikan yang dipraktikkan ketika ini (termasuk teori Rousseau dan Dewey) sebagai tidak memadai dan bersifat reductionist kerana kurang menekankan dimensi pembinaan watak anak didik. Bagi Foerster, pembinaan karakter yang kuat seharusnya menjadi teras pendidikan kerana karakter seseorang adalah jati dirinya dan sekaligus pengukur kualiti peribadinya. Pendidikan karakter juga dikaitkan dengan Thomas Lickona (1943 - ), Profesor Pendidikan di State University of New York, Cortland. Bukunya, Educating for Character menjadi rujukan ramai sehingga dianggap “the bible of the character education movement”. Beliau berperanan penting dalam mempromosikan pendidikan karakter terutama lewat bukunya, The Return of Character Education. Judul buku tersebut yang memakai kata, The Return... mengindikasikan kenyataan bahawa pendidikan karakter telah lama diabaikan, dan kini harus dipugar kembali.


  Di Amerika Syarikat ketika ini, pendidikan karakter dilaksanakan dengan kuatkuasa undang-undang. State of North Carolina misalnya, telah meluluskan Student Citizen Act of 2001, yang mengkehendaki sistem persekolahan dan warga komunitinya melaksanakan pendidikan karakter dengan objektif membangun watak yang tangguh (strong character). Pada tahun berikutnya (2002) telah terbit buku Character Education: Informational Handbook & Guide for Support and Implementation of the Student Citizen Act of 2001 (Character and Civic Education), yang diselenggarakan oleh Mike Frye dan rakan-rakan. Pada halaman awalnya, buku tersebut memetik kata-kata Rev. Martin Luther King Jr., “Intelligence plus character – That is the goal of true education”, juga kata-kata Booker T. Washington, “Character is POWER”




Perspektif Agama dan Budaya


Hakikatnya, pendidikan karakter bukan suatu penemuan baharu. Ia sudah wujud seusia dengan pendidikan itu sendiri. Dalam sejarah pemikiran kependidikan rantau ini, isu pendidikan karakter telah dibahaskan oleh Ki Hadjar Dewantara (1889 – 1959), cendekiawan Indonesia awal abad lalu, dalam dua buah bukunya mengenai pendidikan dan kebudayaan. Wawasan Ki Hadjar Dewantara tentang pendidikan karakter dirumuskannya dalam ungkapan Ing Ngarso Sun Tuladha, Ing Madya Mangun Karsa. Tut Wuri Handayani, iaitu tiga tahap pendidikan karakter, bermula dengan keteladanan, diikuti dengan pembinaan semangat dan akhirnya pemberian dukungan.


Dalam konteks Islam, pendidikan karakter sudah bermula bersama penurunan Al-Quran. Pendidikan nabawi adalah pendidikan karakter yang menggunakan istilah lain, iaitu akhlaq. Seterusnya akhlaq menjadi tema besar dalam pemikiran tokoh-tokoh pendidikan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Maskawayh, Al Ghazali, Al Zarnujiy, dan lain-lain. Dalam sejarah pendidikan Islam tradisional rantau ini, kitab Ta’lim al Muta’allim Tariq al-Ta’alum oleh Al-Zarnujiy dipakai dengan meluas sebagai teks pendidikan akhlak/adab dalam kehidupan para penuntut ilmu. Kitab yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul Instruction of the Student: The Method of Learning oleh G.E. Von Grunebaum dan Theodora M. Abel itu mengintegrasikan sejumlah nilai moral yang perlu diintegrasikan itu termasuklah ketulusan niat, menghargai ilmu dan ilmuwan, musyawarah, sabar, kesungguhan, ketekunan, kuat semangat, syukur, murah hati, kasih sayang, tawakkal, saling menasihati, dan wara’. Tanpa pengintegrasian sedemikian, pendidikan tidak akan mencapai matlamat. Memang tujuan Al Zarnujiy menulis kitab tersebut ialah untuk memberikan petunjuk kepada para penuntut yang ingin meraih manfaat ilmu dan menikmati buahnya, iaitu kejayaan mengamalkan serta menyebarkan ilmunya. Ternyata, jika hari ini pendidikan disebut sebagai value realization, sebenarnya Al Zarnujiy telah lama mempromosikannya.


Andai sabda nabawi “Sesungguhnya aku diutus sebagai guru” dibaca serentak dengan sabdanya yang lain, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia”, akan jelas maksud kedua-dua hadis tersebut, bahawa misi kerasulan Nabi S.A.W. adalah pendidikan karakter dalam pengertian membina umat berakhlak mulia. Antara kata kunci yang harus direnung dalam kedua-dua sabda nabawi tersebut ialah kata mua’lliman (guru). Kata tersebut membawa pengertian tentang adanya dimensi dan fungsi keguruan dalam al-risalah dan al-nubuwah. Seterusnya, ialah kata liutammima (untuk menyempurnakan) yang membawa pengertian bahawa manusia sejatinya sedia memiliki akhlak dalam batas tertentu. Kerana itu, tugas rasul ialah menyempurnakan, bukan memulakan suatu yang sebelumnya tidak ada. Ini bererti bahawa pendidikan karakter tidak bermula dari kosong, tetapi mengembangkan potensi yang sedia dimiliki oleh anak didik.


Pendidikan nabawi yang diekspresikan dengan ungkapan “penyempurnaan akhlak mulia”  itu pada hakikatnya tidak lain adalah pendidikan karakter berasaskan nilai-nilai Qurani. Untuk menjayakan misi kependidikan sedemikian, al-Rasul S.A.W. sendiri sebagai pelaksananya memiliki keunggulan karakter yang mendapat pengakuan Ilahi lewat firmanNya dalam surah al-Qalam, “dan sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang unggul”. Demikianlah syarat yang harus dipenuhi oleh pendidik atau guru dalam konteks pendidikan karakter. Justeru, kejayaan pendidikan karakter sangat ditentukan oleh faktor keteladanan. Dalam konteks pendidikan karakter model nabawi, al Rasul S.A.W. memang ditampilkan sebagai uswatun hasanah atau teladan unggul.


Keunggulan karakter nabi S.A.W. tidak diasaskan pada nilai-nilai relatif tradisi kewiraan sesuatu bangsa pada zaman dan ruang tertentu. Keunggulan karakter nabawi adalah berasaskan nilai-nilai mutlak Qurani yang bersifat sejagat dan abadi. Apabila Sayyidatina Aishah r.a. memberikan pemeriannya tentang karakter nabi S.A.W adalah ungkapan “Kana khuluquhu al-Quran”, bererti karakter junjungan S.A.W. adalah realisasi nilai-nilai Qurani. Dengan kata lain, nilai-nilai yang membentuk keunggulan karakter nabi S.A.W. adalah nilai-nilai Illahiyyu ‘l-masdar, iaitu nilai-nilai dari sumber keTuhanan.


Nilai-nilai Qurani yang terjelma dalam akhlak Nabi S.A.W. itu sebenarnya telah terumus dalam Asmaul Husna (nama-nama indah Allah S.W.T). Penghayatan nama-nama indah itulah yang disebut al-takhlluq bi akhlaqi’Llah (berakhlak dengan akhlak Allah) yang memang menjadi tuntutan agama. Manusia sebagai makhluk pembawa citra ketuhanan (the image of God) seharusnya menghayati Nama dan Sifat Allah sejauh yang terdaya oleh kudrat keinsanannya. Tuntutan sedemikian sebenarnya tidak hanya wujud dalam Islam, tetapi juga dalam agama-agama samawi yang lain seperti agama Yahudi. Rabbi Levi Brackman dan Sam Jaffe dalam buku mereka, “Jewish Wisdom for Business Success: Lesson from Torah and Other Ancient Texts” menyebut kewajipan meneladani Tuhan berdasarkan ajaran kitab Torah, “... that humans are commanded to emulate God to the best of their abilities. This means, that we are obliged to imitate the good deeds and lofty attributes by which God is metaphorically described. We must learn from the beautiful, merciful, and kind ways of God, and we are commanded to imitate them. However, there is more to it than that. Inherent in this commandment is useful wisdom for business and management” (Brackman, R.L. dan Sam Jaffe, 2008:195)


Manusia adalah makhluk istimewa yang menerima anugerah cebisan daripada sifat-sifat rabbani. Sifat-sifat inilah yang harus dikembangkan sejauh yang terjangkau oleh kudrat keinsanannya. Hakikat inilah yang diungkapkan oleh al-Syaikh Abd al-Karim al-Jiliy ketika berbicara tentang al-Insan al-Kamil dalam kitabnya, al-Insan al-Kamil fi Ma’rifati al-Awakhir wa al-Awa’il. Dalam penjelasannya tentang makna hadis nabawi bahawa Allah menciptakan Adam a.s. menurut gambaranNya (‘ala suratihi), al-Jiliy mengatakan:


“Demikianlah, Allah bersifat Hidup, Mengetahui, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat, Berkata-kata; maka demikian jugalah manusia – hidup, mengetahui dan seterusnya. Tetapi, tentu sahaja semuanya itu terbatas dalam kudrat keinsanan. Bagaimanapun, kurniat tersebut cukup untuk dijadikan asas pembinaan karakter dalam acuan Asma al-Husna sebagai sumber nilai”


Dalam budaya Melayu, manusia berwatak unggul disebut “orang budiman”. Kata “budi” adalah kunci yang mengekspresikan nilai teras Melayu. Dengan kata satu kata “budi” terangkum sejumlah makna termasuk: kemuliaan dan kearifan (orang kaya bertabur harta, orang mulia bertabur budi); akhlak (meski ilmu setinggi tegak, tidak berbudi apa gunanya); perbuatan baik (Bertanam budi); akal (akal budi, laut budi tepian akal); kesantunan (yang elok budi yang indah bahasa); kebolehan beradaptasi dan bertindak (kurang budi teraba-raba, tiada ilmu suluh padam); dan kecekapan melakukan sesuatu dengan baik dan sesuai (hidup kalau tak berbudi, ke mana pergi ke mari canggung).


Khatimah


Pendidikan karakter bukan lagi suatu pilihan, tetapi suatu kemestian. Umat harus diselamatkan daripada kehancuran watak yang akan mengakhiri segala-gala. Para pendidik yang menyedari hakikat ini harus memiliki keberanian melakukan islah tarbawi atau reformasi pendidikan. Islah harus dijayakan dengan komitmen dan kekuatan umat, bukan mengharap dan menunggu pihak-pihak lain yang telah hilang minat dan kepedulian terhadap pendidikan, kerana pendidikan adalah projek jangka panjang yang memakan masa, sedang keinginan mereka hanya pada hal-hal yang serba segera.