Pendahuluan
Kami mengucapkan syabas dan tahniah atas langkah besar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengkaji dan menilai semula sistem pendidikan negara agar selaras dengan perkembangan dunia. Kajian terakhir terhadap sistem pendidikan adalah lebih daripada tiga puluh tahun dahulu dalam laporan jawatankuasa kabinet, 1979. Justeru, kajian semula sistem pendidikan ini dilihat amat wajar dilakukan apa lagi dunia sudah melalui abad yang baru, abad ke-21.
Dunia pendidikan masa kini seharusnya dilihat dalam konteks misi pembebasan-pencerahan (tahriry-tanwiriy); Maka perlu ada keberanian membangun sistem pendidikan yang berbeza daripada hari ini yang membawa semangat memperkasa, membangun, membebas dan mencerahkan. Selama ini, sistem konvensional melahirkan generasi yang lemah, meminta-minta (pekerjaan), tidak mampu mencipta pekerjaan, dan tidak mandiri (independence).
Anak-anak diasuh menjadi generasi penakut, mementingkan diri, hipokrit, dan berpandangan sempit. Tidak sedikit generasi yang telah mengalami pemandulan dan pem’bonsai’an daya kreatif, penumpulan sikap kritis, dan tidak lagi mempunyai idealisme. Keresahan dan kebimbangan terhadap pendidikan yang tidak lagi mendidik adalah akibat daripada politisasi dan komersialisasi yang melampau-lampau sehingga mengakibatkan pendidikan telah kehilangan esensinya sebagai proses pengutuhan dan penyempurnaan insan.
Watak dan jati diri bangsa Malaysia sebenarnya telah disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sebagai seorang yang percaya kepada tuhan, berilmu dan berpengetahuan, berakhlak mulia, bertanggung jawab kepada diri, masyarakat dan negara, memiliki sahsiah yang seimbang dan harmonis, serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Sesungguhnya, landasan pendidikan perlulah menjadi wadah yang terbaik dan utama dalam pembentukan apa yang dipanggil insan baik, soleh (good man) dan seterusnya mewujudkan keluarga, masyarakat dan negara yang baik. Justeru, krisis sosial yang melanda negara pada masa ini, adalah refleksi kepada pengamalan sistem pendidikan negara yang dilaksanakan pada hari ini.
Penyimpangan pendidikan dalam sistem persekolahan telah menjadi proses dehumanisasi secara terang-terangan dan tersusun selama sedekad murid-murid berada di dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah. Kekaguman melampau kepada penjajah menjadi esensi palsu sebagai ejen penyimpang; digalas dan diteruskan walaupun sudah lebih setengah abad negara merdeka.
Pembinaan watak dan citra bangsa harus meliputi usaha memelihara nilai luhur warisan bangsa, menyegarkan yang telah layu dalam pertukaran musim. Sesuai dengan era globalisasi, kita harus mampu tampil sebagai global players, maka kita harus punya kompetensi kelas dunia. Bagaimanapun, kita tidak perlu bersaing dalam semua bidang. Kita hanya perlu bersaing dalam kebajikan dan dalam bidang-bidang yang relevan dengan keutamaan kita. Justeru, memahami keutamaan adalah sangat penting bagi penggubal dasar dan pelaksana sistem pendidikan kebangsaan; keutamaan yang membawa kepada keharmonian, perpaduan, budaya ilmu, dan kemajuan mengikut citra warna Malaysia; walau bagaimanapun, dokumen Malaysia: The Way Forward menggariskan konsep negara maju model acuan Malaysia (Wawasan 2020) sebagai, “... sebuah negara yang membangun sepenuhnya dalam semua bidang: ekonomi, politik, sosial, rohani, psikologi dan budaya”; Yang pasti, jelas tidak terhad kepada bidang ekonomi atau negara berpendapatan tinggi sahaja.
Mempersiapkan diri dengan peningkatan kompetensi dan daya saing tidak harus disamakan dengan amalan meniru-niru gaya dan lagak orang lain. Sikap mahu ada apa yang orang lain ada, tanpa memperhitungkan hakikat siapa kita dan siapa mereka, adalah sikap yang tidak sihat. Kita harus menjadi orang berjaya, yang benar-benar berjaya, bukan berlagak dan memperaga diri seperti orang berjaya walhal kita belum berjaya. Orang yang tampil dengan lagak melebihi hakikat dirinya, sebenarnya adalah penderita penyakit rendah diri yang berusaha menutup-nutupi kekurangan dirinya dengan menampilkan citra palsu. Lantas, transformasi pendidikan memerlukan transformasi yang bukan bersifat kosmetik, palsu (artificial) dan cetek (superficial) malah mampu memaparkan budaya dan citra Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Penilaian Umum
Prestasi Malaysia secara umumnya adalah membanggakan terutama dalam bidang pendidikan semenjak merdeka pada tahun 1957 dan merupakan antara negara Dunia Ketiga yang berjaya. Pendemokrasian pendidikan telah menjadikan perkembangan dan penyebaran peluang pendidikan dapat dicapai di seluruh negara. Pendemokrasian pendidikan tidak bersifat bilangan kuantitatif semata-mata, malah secara kualitatif, masyarakat mendesak kepada kualiti pendidikan secara menyeluruh, dari aspek keguruan, kurikulum, prasarana, pentadbiran, dan lain-lain.
Namun, masyarakat di bandar dan di luar bandar masih lagi mempunyai jurang dari pelbagai aspek di atas sekaligus mengakibatkan jurang pencapaian dari aspek kurikulum dan ko-kurikulum, dan akhirnya peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik serta membaiki taraf hidup turut terjejas.
Matlamat utama sistem pendidikan negara, seperti dihasratkan semenjak merdeka adalah menjadi wadah pemersatu dan perpaduan rakyat. Maka, sekolah kebangsaan dilihat sebagai jalan terbaik untuk menyatukan pelbagai murid berbilang-bilang kaum untuk bersama berinteraksi. Ia bagaimanapun hanya berlaku di sekolah menengah dan menggunakan bahasa inggeris. Maka, bermula tahun 1976, dengan pelaksanaan alih bahasa daripada bahasa inggeris ke bahasa melayu di sekolah aliran inggeris, pada tahun 1982, kesemua sekolah pada peringkat menengah akhirnya menggunakan bahasa melayu.
Walau bagaimanapun, kementerian masih memberikan kelonggaran untuk masyarakat mendirikan sekolah persendirian dan sekolah antara bangsa, yang mengenakan kos yang tinggi. Justeru enrolmen di sekolah tersebut terhad kepada sesuatu kaum atau kelas sosial, walaupun tiada jaminan lebih berkualiti berbanding sekolah kerajaan. Dalam usaha untuk menjadikan sekolah, terutamanya peringkat menengah, sebagai medan utama untuk menggalakkan perpaduan, kita membenarkan polarisasi dan sudah tentu keadaan ini boleh menghalang dan menjejaskan usaha-usaha untuk mewujudkan perpaduan.
Bahasa adalah merupakan isu yang sangat sensitif kepada setiap kaum/bangsa kerana bahasa merupakan identiti dan jati diri serta kebanggaan setiap kaum/bangsa. Namun demikian para pemimpin terdahulu sedar bahawa negara ini yang unik dan majmuk perlu memiliki bahasa kebangsaan yang menjadi alat komunikasi umum, identiti dan jati diri. Justeru, mereka telah bersetuju dan sepakat bahawa untuk kepentingan perpaduan kaum bahasa Melayu/bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar utama, dan berperanan untuk menjadi alat komunikasi bersama dan saranan perpaduan. Maka, bahasa Melayu telah dijadikan salah satu dasar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Seterusnya usaha-usaha telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, termasuk menukarkan bahasa pengantar sekolah-sekolah Inggeris kepada bahasa Melayu, dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bermula tahun 1976 dan diteruskan dengan pelaksanaan KBSR dan KBSM bermula pada tahun 1982. Namun demikian usaha-usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masih di peringkat awal dan banyak lagi cabaran yang perlu ditangani untuk memantapkannya.
Namun, pada masa yang sama, terdapat pelbagai usaha yang berterusan untuk menggugat taraf dan kedudukan bahasa Melayu, dan isu yang sangat kontroversi ialah mengenai pelaksanaan tergesa-gesa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002. Pada masa ini pula, terdapat suara-suara yang menuntut diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris, secara jelas suatu langkah ke belakang. (Nota: Kemudian, pada tahun 2016, terbukti apabila dicetuskan Program Dwi-Bahasa (DLP) dalam mata pelajaran STEM)
Masyarakat melihat bahawa terdapat kecenderungan untuk melakukan perubahan-perubahan dalam pendidikan, terutamanya kurikulum, tanpa melakukan kajian yang mendalam (research-based policy), tanpa mengadakan projek-projek rintis yang mantap, dan tanpa membuat persiapan-persiapan yang mencukupi untuk melaksanakan perubahan-perubahan tersebut. Banyak contoh boleh dikemukakan, dan antaranya ialah projek sampoa, sekolah bestari, dan yang mutakhir ialah PPSMI. Akibatnya, ramai murid dan guru mengalami kekangan dan masalah untuk melaksanakan perubahan-perubahan tersebut. Pengajaran guru dan pembelajaran murid turut terjejas. Pendek kata prestasi, murid dan guru, terjejas. Selain itu projek/program tersebut menelan perbelanjaan yang besar dan akibatnya berlaku pembaziran yang besar.
Isu yang lama dan berpanjangan hingga kini ialah berkaitan dengan orientasi sistem pendidikan yang berlebihan terhadap peperiksaan. Walaupun terdapat gesaan-gesaan yang kuat untuk mengurangkan tekanan terhadap peperiksaan, namun keadaan yang wujud masih lagi menampakkan dengan jelas orientasi sistem pendidikan kepada peperiksaan. Pusat-pusat tusyen masih lagi bercambah di mana-mana, terutamanya di bandar-bandar, dan ibu bapa sibuk menguruskan anak-anak mereka ke pusat-pusat tusyen. Kesemuanya mahu anak-anak mereka mencapai kecemerlangan, namun pada masa yang sama membebankan anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang berlebihan. Akibatnya anak-anak tidak dapat membesar secara normal dan menikmati kehidupan yang sebenarnya. Akhirnya, guru dan murid berjaya secara teknikalnya, memperoleh kaedah pantas, dan mudah secara latih tubi (rote learning) untuk memperoleh A dan A+ tanpa mengikuti proses pembelajaran.
Satu lagi isu yang telah lama diutarakan dan masih berterusan hingga kini ialah berkaitan dengan guru. Peranan guru adalah sangat penting dan kritikal kerana tugas dan tanggungjawab mereka adalah untuk membangunkan insan, masyarakat dan negara. Guru merupakan tonggak dalam sistem pendidikan dan arkitek dalam pembangunan bangsa dan negara.
Namun isu-isu yang tidak kunjung padam mengenai profesyen keguruan ialah yang berkaitan dengan calon-calon memilih profesyen ini sebagai pilihan akhir, imbalan yang kurang memuaskan, peluang kenaikan pangkat yang terhad, dan beban tugas yang berat. Tugas utama guru ialah mendidik, namun guru banyak menggunakan masa untuk menjalankan tugas-tugas bukan mendidik, termasuk aktiviti-aktiviti keupacaraan (ceremonial).