Homeschool, Ejen Bebas dan Usahawan Budak Sekolah


Pendahuluan


Programme for International Student Assessment (PISA) ialah suatu program untuk mengukur keupayaan murid dalam literasi matematik, sains dan pembacaan. Tujuannya ialah untuk mengumpul data bagi melihat pencapaian sistem pendidikan sesebuah negara. Ia diadakan setiap 3 tahun dan Malaysia ialah antara negara yang menyertainya. 


Beberapa tahun kebelakangan ini, pelajar–pelajar Malaysia gagal menja
wab soalan-soalan dengan baik. Kedudukan Malaysia jatuh beberapa kali sejak 2009. Skor yang diperoleh lebih teruk berbanding Thailand dan jauh ketinggalan berbanding Vietnam. Bahkan sangat teruk jika dibandingkan dengan Taiwan. Ini… memalukan!


Namun, hampir segala aspek lain daripada sudut ekonomi, Malaysia mendahului negara-negara ini. The Ease of Doing Business, Global Competitiveness Index, Global Innovation Index, semuanya menunjukkan Malaysia lebih baik berbanding Thailand, Vietnam dan Taiwan. World Happiness Index juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat bahagia dan gembira. Malaysia turut menjadi negara pilihan dalam rantau ASEAN sebagai tempat pendatang asing bertandang.


Persoalannya  Kalau rakyat Malaysia bodoh sangat, kenapa kita masih kaya? 


Bagaimana kita mampu kekal memacu ekonomi negara dengan markah dan kedudukan PISA yang semakin merudum sedangkan ekonomi memerlukan brainpower yang sangat hebat? Bagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia mampu memiliki aset berjuta walaupun gagal semua mata pelajaran semasa di sekolah dulu?


Kenangan terindah


Beberapa tahun lalu, saya menerima murid baru yang bertukar sekolah daripada sekolah rendah saya. Apabila ibu penjaga tersebut berkata bahawa anaknya bertukar dari Sekolah Rendah SS 19 Subang Jaya, hati saya seperti berbunga. Teringat semula kenangan terindah semasa di sekolah rendah.


“SR SS 19,

Sekolah yang kami banggkan

Belajar terus berlajar,

Berusaha setiap masa.”


Itulah antara bait–bait lagu sekolah yang saya nyanyikan semasa sekolah rendah dulu. Disebabkan terlalu rindu, saya ambil keputusan untuk menjenguk semula sekolah yang saya tinggalkan lebih 20 tahun lalu. 


Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah, saya terlihat gelanggang bola baling. Semua memori silam terimbau kembali. Seolah–olah saya kembali ke sekolah sebagai seorang murid tahun 3. Saiz kelas, susun atur kerusi meja, papan kenyataan di belakang kelas, semuanya sama. Hiasannya nampak lebih cantik dan menonjol, tetapi templat asasnya adalah seperti semasa tahun 90-an. Tandas sekolah juga berbau seperti dulu.


Mula–mula memang seronok mengimbau kenangan terindah, hari terakhir persekolahan merupakan hari pertama kali saya disepak oleh ustazah kerana bermain tepung semasa jamuan akhir tahun. Namun, ada sesuatu yang bermain di fikiran saya.


Berapa banyak lagi sekolah yang masih serupa seperti 20 tahun lalu? Bank, hospital, kedai runcit, perpustakaan, semuanya mengalami perubahan fizikal yang mendadak. Sistem lama ditukar dengan sistem baru yang lebih… baik!


Hampir semua institusi di Malaysia mengalami pelbagai perubahan drastik sama ada daripada sudut fizikal, konsep dan sistem. Namun, sekolah sangat hebat dalam mengekalkan kesuciannya sebagai sebuah warisan institusi bersejarah. Namun, apa yang pelik ialah sekolah bukannya sesuatu yang kita warisi daripada nenek moyang kita. Sekolah ialah ciptaan moden yang sepatutnya berkembang dan menerajui perubahan di dalam masyarakat.


Sejarah Pendidikan


Lebih kurang 150 tahun lalu, kanak–kanak merupakan pekerja utama dalam sektor perkilangan. Kanak-kanak ini dibayar dengan sangat murah dan merampas pekerjaan daripada golongan dewasa yang sanggup bekerja keras demi menyara keluarga. Banyak insiden yang terjadi seperti kanak-kanak berusia 7 tahun hilang jari, remaja yang berakhlak buruk, dan kematian yang sia-sia dan disia-siakan semasa bekerja di kilang, di ladang dan beberapa sektor lain. Selepas beberapa rentetan peristiwa, pendidikan mula diwajibkan secara menyeluruh dan akta buruh kanak-kanak digubal bagi melindungi generasi akan datang. 


Namun, pendidikan berskala nasional yang diperkenalkan bukanlah bertujuan untuk menjana cendekiawan pada masa akan datang. Ia adalah suatu idea untuk menghasilkan pekerja industri yang patuh dan lebih produktif. Sistem pendidikan yang meletakkan murid -murid pada kedudukan tertentu, di dalam kelas tertutup, di dalam sekolah yang mempunyai strata, mengikut jadual waktu yang rigid, ia bukanlah suatu kebetulan; Ini adalah pelaburan dalam ekonomi masa hadapan. Perancangannya ialah menukar buruh kanak-kanak (berjangka pendek) kepada pekerja yang lebih produktif (berjangka panjang) melalui pendidikan di sekolah.

Inilah bentuk latihan yang sangat diperlukan oleh ekonomi lama. Sekolah ada loceng; kilang ada wisel. Sekolah ada kad laporan; Ofis ada laporan prestasi. Menyenangkan guru adalah persiapan untuk menyenangkan bos kelak. 


Sekolah bagaikan sebuah kilang yang sedang memproses dan menapis pekerja masa hadapan. Proses ini dijalankan melalui ujian yang seragam dan kurikulum standard melalui kelompok murid tertentu. (Bilakah kali terakhir anda meluangkan masa yang lama di dalam sebuah bilik yang penuh dengan individu yang sama umur dengan anda?)


Revolusi Homeschooling – Kisah Thomas A. Edison dan Jeremy Lee

Semasa Thomas Edison berusia 7 tahun, dia telah memberikan sekeping nota kepada ibunya. Edison berkata “Cikgu suruh saya berikan nota ini kepada emak.”


Ibu Edison membaca isi kandungan nota itu dengan kuat sambil menitiskan air mata, “Anak puan ialah seorang genius. Sekolah ini terlalu kecil dan sempit. Guru-guru kami tidak cukup terlatih untuk mengajar anak puan. Puan ajarlah anak puan sendiri.”

Tahun silih berganti dan Edison menjadi seorang inventor yang masyhur. Ibunya sangat gembira dengan pencapaian anaknya. Beberapa tahun kemudian, ibunya meninggal dunia dengan tenang.

Pada suatu hari, sedang Edison mengemas pusaka ibunya, dia terpandang sekeping kertas berlipat di dalam laci meja. Dia mengambilnya dan membuka lipatan kertas itu. Di dalamnya tertulis: “Anak puan addled (tidak mampu berfikiran dengan waras). Kami tidak membenarkannya datang ke sekolah lagi!”

Edison menangis semahu-mahunya dengan tiba-tiba. Kemudian, dia menulis di dalam diarinya: “Thomas Alva Edison ialah seorang kanak-kanak yang dibuang oleh sekolah, tetapi dengan bantuan seorang hero (ibunya), menjadi seorang genius di abad ini.”

Kisah Thomas Alva Edison ini sedikit sebanyak adalah saduran daripada fakta dan fiksyen. Ia tetap membuktikan satu perkara; Bukan semua kanak-kanak sesuai dimasukkan ke dalam sistem persekolahan yang rigid, apatah lagi jika kanak-kanak itu mempunyai beberapa isu yang perlu diambil perhatian.


Jeremy Lee


Di sebuah sekolah awam, guru kepada Jeremy Lee selalu membuat aduan kepada ibu bapa Jeremy. Jeremy tidak mampu memberikan perhatian, tidak boleh duduk diam, terlalu banyak bertanya dan suka memberikan pandangan secara melulu. Akibatnya, Jeremy dilabel sebagai murid bermasalah dan sering dihukum.

Di zaman kanak-kanaknya, Jeremy ialah seorang yang sangat riang dan aktif. Namun, personalitinya berubah dan mengakibatkan keputusan peperiksaannya merudum. Sekolah adalah seumpama suatu penyeksaan. Jeremy dibebani oleh kerja rumah yang melampau (supaya dia mendapat keputusan yang minimum) tetapi ia tidak menjadikan Jeremy lebih baik. Jeremy semakin tertekan dan serabut.

Ibu bapa Jeremy turut tertekan dengan situasi anak mereka. Ibu bapa Jeremy mula menggunakan kekerasan dan merotan Jeremy. Satu hari semasa bapa Jeremy sedang merotannya, dia menangis dan berkata, “ayah boleh terus memukul saya tapi saya tetap tak faham.”

Barulah ibu bapa Jeremy sedar bahawa apa yang mereka lakukan tidak memberikan kesan kepada anak mereka. Bahkan, ia menjadikan keadaan Jeremy lebih teruk. Ketika itu, barulah mereka sedar bahawa pendidikan ortodoks tidak sesuai untuk anak mereka.

Ibu bapa Jeremy mula meneroka ruang lain dalam dunia pendidikan. Sekolah swasta, sekolah antarabangsa, home school, pusat pembangunan minda, bengkel-bengkel dan pelbagai lagi institusi berkaitan persekolahan. Mereka turut berjumpa dengan ibu bapa yang mengeluarkan anak-anak mereka daripada sistem pendidikan konvensional.

Akhirnya, mereka memilih untuk menamatkan sesi persekolahan Jeremy pada usia 9 tahun. Ibunya, Puan Sharon mula mengajar Jeremy di rumah. Di rumah, Jeremy mempunyai seorang sahaja rakan kelas, adiknya yang berusia 7 tahun.


“Saya rasa homeschooling banyak membantu Jeremy. Dia suka mencari ilmu yang diminatinya sendiri, berbanding dengan maklumat yang disuap secara paksa (di sekolah). Di sekolah, Jeremy tiada ruang untuk eksplorasi. Di sekolah, dia dipaksa untuk menghafal pelbagai maklumat dan memuntahkannya semula di atas kertas ujian. Jeremy tidak sesuai dengan sistem pendidikan begitu.”

-Sharon, Ibu Jeremy-

Jeremy akan belajar mengikut rentak dan kemampuan dirinya sendiri tanpa dipaksa dan dia seronok belajar. Bukankah ilmu itu sepatutnya dipelajari secara natural? Dia akan membaca bahan-bahan tambahan yang diperolehi daripada pelbagai sumber untuk mendalami tajuk dan topik yang diminati.

Untuk makluman, Puan Sharon menggunakan silibus mix-and-match. Jadual pembelajaran formal adalah selama 3 jam sehari. Selebihnya Jeremy akan belajar melalui pelbagai aktiviti termasuk bermain dan pembacaan santai. Puan Sharon percaya bahawa apa yang diterapkan kepada Jeremy ialah pembelajaran sepanjang hayat. Bukan pembelajaran untuk menjawab peperiksaan. 


Kenapa homeschooling? 


Secara am, murid-murid yang berada di tahun 1 hingga 5 akan belajar dengan tenang tanpa tekanan melampau. Namun, apabila tiba di tahun 6, murid tidak lagi belajar. Mereka akan menjalani latih tubi intensif untuk menjawab UPSR sepanjang tahun. Matlamat hidup murid akan diubah kepada UPSR semata-mata. Jamie tidak nampak kepentingan UPSR kepada anaknya. Lagipun sijil UPSR tidak laku langsung melainkan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh.


“Kami mahu pendidikan yang lebih berkualiti. Saya sudah melihat silibus sekolah dan saya tidak menggemarinya. Pelan induk Pembangunan Pendidikan…. Ia nampak sangat cantik di kertas tetapi sangat berlainan dengan realiti perlaksanaannya.”

-Jamie, ayah Jolyn-


Ejen Bebas


Ejen bebas ialah individu yang bekerja sendiri tanpa terikat dengan mana-mana institusi. Kebiasaannya, ejen bebas akan bekerja secara kontrak atau mengikut keperluan projek. Sebahagian ejen bebas akan bekerja dengan lebih daripada seorang majikan. 


Bilangan ejen bebas ini semakin hari semakin meningkat. Kebanyakan mereka memilih untuk menjadi ejen bebas di atas beberapa sebab seperti, fleksibiliti dan kebebasan masa serta cara kerja yang bebas dan tidak terlalu terikat kepada protokol dan birokrasi.


Namun, menjadi ejen bebas perlu mempunyai ciri-ciri tertentu untuk berjaya. Pertama, ejen bebas perlu ‘asli’, mampu membina identiti sendiri. Kedua, mempertaruhkan maruah dan reputasi di atas kerja yang dilaksanakan. Ketiga, ejen bebas mendefinisikan kejayaan mereka sendiri. Bukan atas apa yang orang lain tentukan. 


Apakah kaitan ejen bebas dan pendidikan? Kebanyakan ejen bebas ini datangnya daripada mereka yang ‘gagal’ menyesuaikan diri dalam sistem pendidikan konvensional. Namun, statistik menunjukkan bahawa mereka ini antara golongan yang banyak menyumbang untuk ekonomi negara. 


Sebagai contoh paling mudah, seorang ajen insurans boleh pada masa yang sama menjadi ajen amanah saham. Pendapatan boleh terus ditambah dengan menjadi ajen hartanah dan broker saham. 


Soalan saya; Berapakah cukai yang perlu dibayar oleh seorang ajen insurans? 

Inilah jawapan kepada persoalan di awal bab. Rakyat Malaysia bukan bodoh. Hanya kerana sebahagian mereka tidak mampu mendapat skor yang baik untuk peperiksaan awam, mereka dianggap kurang bijak berbanding mereka yang mendapat skor A lurus. Sedangkan manusia itu mempunyai pelbagai kecerdasan dan kemahiran.


Ejen bebas sebagai guru.


Kebanyakan ibu bapa yang menjadi ejen bebas akan memilih homeschooling sebagai medium pendidikan buat anak-anak mereka. Masa dan silibus yang fleksibel menjadi keutamaan. Seperti seorang doktor mahukan anak -anak mereka menjadi seorang doktor, seorang ejen bebas turut mahukan kebebasan untuk anak-anaknya. 

Si doktor akan berfikir, “sistem ini telah menjadikan aku berjaya, ia pasti sesuai untuk anakku.”

Si ejen bebas akan berkata, “sistem ini pernah memperlahankan potensi aku dahulu. Aku takkan benarkan ia terjadi kepada anakku.”

Suatu masa nanti ejen bebas akan menjadi guru (sebenarnya ia sedang terjadi sekarang dan semakin meluas). Seorang tukang rumah mungkin akan mengupah dirinya sendiri untuk mengajar kemahiran pertukangan untuk homeschooler. Seorang penulis atau jurnalis mungkin menjadi tutor atau editor kepada mana-mana homeschoolers yang berminat untuk menghasilkan dan menerbitkan karya mereka sendiri.

Perkembangan dunia siber telah menjadikan homeschooling lebih mudah. Kemahiran menggunakan enjin pencarian seperti google seorang homeschooler adalah lebih baik berbanding pelajar sekolah. Pelajar sekolah bergantung hampir sepenuhnya (kebiasaan adalah sepenuhnya) kepada guru untuk memberikan maklumat. Namun, seorang homeschooler bergantung penuh kepada dirinya sendiri untuk mencari, menilai dan menapis pelbagai maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber. 


Seorang pelajar sekolah, pengetahuannya terhad oleh sempadan buku teks dan pagar sekolah. Homeschooler sentiasa meluaskan sempadan ilmu pengetahuannya. Seorang pelajar sekolah, meninggalkan ilmu yang dipelajarinya ketika keluar daripada kawasan sekolah. Homeschooler membawa ilmu yang dipelajarinya ke mana sahaja untuk diamalkan mengikut kesesuaian keadaan. 


Kebebasan penerokaan 


Bayangkan, seorang kanak-kanak berusia 5 tahun sedang ghairah bermain dengan blok binaan. Setiap hari dia membina dan menghasilkan ciptaannya sendiri. Haiwan, kapal terbang, kenderaan, rumah, semuanya dibina mengikut intuisi dan imaginasinya. Tiada sesiapa pun yang mengarahkannya untuk berbuat demikian. Tiada siapa yang memberikan gred dan penilaian. Adakah dia sedang belajar? Tentulah! Setiap percubaan yang dilalui dengan kaedah cuba jaya merupakan proses pembelajaran. Beginilah cara seorang homeschooler belajar. Meneroka tanpa sempadan.


Tiba-tiba seorang dewasa yang berniat baik datang mengajar budak itu tentang blok binaan. Orang itu menetapkan bahawa masa untuk membina  hanyalah 30 minit. Di setiap hujung sesi, orang dewasa itu memberi penilaian kepada binaannya dan meletakkan gred seperti A atau BAIK atau TIDAK MEMUASKAN. 


Kemudian, dia menjemput beberapa orang kanak-kanak lain yang seusia untuk mengikuti sesi yang sama. Kanak-kanak ini bertanding antara satu sama lain untuk menghasilkan binaan terbaik. Siapa yang berjaya akan dipuji dan dianugerahi. Semuanya mengikut penilaian dan kaca mata orang dewasa itu. Maka selepas itu, segala bentuk binaan adalah bertujuan untuk memuaskan orang dewasa itu. Adakah itu pembelajaran?


Niat dan tindakan baik orang dewasa itu dengan jayanya telah melenyapkan kebebasan bermain, belajar, meneroka dan menemui ilmu sendiri. Kanak-kanak tadi telah berjaya dikawal oleh orang dewasa. Dia akan hilang keseronokan bermain. Tiada lagi keseronokan belajar. 


Banyak kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai persamaan yang banyak. Professor psikologi Edward L. Deci dari Universiti Rochester menyatakan bahawa seseorang individu (dewasa atau kanak-kanak) akan hilang motivasi intrinsik serta keseronokan belajar dan bekerja apabila kebebasan dan kawalan diri mereka dirampas oleh suatu sistem yang menekankan hukuman dan ganjaran. Kebebasan adalah jalan utama kepada proses pembelajaran.


Keinginan budak tadi untuk mencari identiti sendiri hilang. Apa yang dilakukan bukan lagi daripada kehendak diri sendiri. Blok binaan dibina kerana ada pihak lain yang mengarahkan. 


Dari sudut akauntabiliti, kanak-kanak itu tidak lagi bertanggungjawab terhadap binaannya. Apa sahaja yang dihasilkan adalah berdasarkan tugasan yang diberikan. Dia melakukannya untuk orang dewasa itu. Dia akan mendapat pujian sebagai balasan. Jika gagal, dia tidak akan peduli.

Bagaimana dengan gred? Bukankah A akan memberikan motivasi kepada kanak-kanak itu untuk terus membina? Kanak-kanak itu mungkin suka binaannya sendiri yang diberi gred B tetapi dia akan berusaha untuk mendapatkan A mengikut piawai orang dewasa itu. Perlukah dia mengambil risiko dengan membina kapal eksplorasi angkasa lepas yang sering terlintas di imaginasinya berbanding binaan rumah yang telah ditugaskan? Kenapa perlu ambil risiko? Kalau bina kapal angkasa, pasti tiada gred! 


Awal tahun ini, saya ada mengupah seorang pelajar lepasan SPM menjadi tutor di pusat pembelajaran saya. Saya memberikan kepadanya satu tugasan. Tulis satu artikel lebih kurang 2000 patah perkataan. Untuk makluman, pelajar berkenaan ialah bekas pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh.


Tugasan diberikan pada bulan Februari. Saya menanti dengan penuh sabar. Dalam pertengahan bulan Mac, keputusan SPM diumumkan. Saya mengucapkan tahniah kerana dia berjaya mendapat A untuk kertas Bahasa Malaysia. Saya bertanyakan tentang tugasan artikel yang diberikan bulan lalu dan begini jawapannya, “Saya tak reti buat la cikgu.”


Dalam institusi pendidikan kebangsaan, kejayaan anda ditentukan oleh orang lain. Namun, bagi homeschooler, kejayaan ditentukan oleh diri mereka sendiri. Setiap hari pasti ada kejayaan-kejayaan kecil dan besar yang diraikan. 


Personalized learning


Hari ini, pembelajaran di dalam kelas gagal memberikan ‘pengalaman bermakna’ kepada para pelajar. Para pelajar tidak dapat mengaitkan kepentingan pelajaran dengan kehidupan mereka. Mereka merasakan bahawa ilmu yang mereka perolehi tiada guna. Guru pula mengajar untuk peperiksaan semata-mata; Tertakluk kepada sukatan pelajaran dan jadual yang ketat dan rigid. 


Sebagai ibu bapa, berapa banyak ilmu yang kita perolehi di zaman persekolahan, kita gunakan dalam kehidupan harian kita hari ini? Berapa banyak pula ilmu yang telah kita lupakan kerana ia tidak berguna kepada kita hari ini?


Ibu bapa sedar bahawa anak mereka mempunyai kebolehan, minat dan kecenderungan yang berbeza. Namun, mereka tiada pilihan. Di negara-negara maju,  personalized learning telah menjadi pilihan kepada ibu bapa dan remaja. Mereka belajar apa yang mereka rasakan perlu dan penting untuk menjadikan mereka lebih baik. Mereka belajar kerana mereka mahu belajar bukan kerana dipaksa; Pembelajaran yang bermakna.


Kegawatan ekonomi juga dirasai oleh para pelajar apabila ibu bapa memotong elaun persekolahan mereka. Aktiviti luaran yang memerlukan yuran tambahan tidak lagi disokong oleh ibu bapa. Keadaan ini mendesak para pelajar mencari peluang untuk mencari duit tambahan. Namun, subjek mencari duit tambahan tidak diajar di sekolah.


Fiksyen: Pengakhiran Sekolah Menengah


Di seluruh dunia hari ini, ramai pelajar sekolah menengah yang mencari guru di luar institusi. Sama ada mereka adalah dropout yang gagal menamatkan sekolah menengah atau masih lagi menuntut di tingkatan masing-masing. Mereka akan mencari guru di institusi lain atau sesiapa sahaja yang mereka rasa layak menjadi guru mereka. Guru daripada kalangan bukan guru. Guru daripada kalangan pengamal dalam bidang masing-masing. Mereka membentuk persekitaran pembelajaran mereka sendiri; Mencipta ruang dan peluang yang mereka dapat terokai dengan kehendak sendiri.


Keghairahan mereka terhadap suatu bidang menjadikan mereka lebih bersemangat mengejar kejayaan mengikut piawaian mereka. Ramai pelajar hari ini sedar bahawa mereka tidak sesuai berada di dalam sistem pendidikan formal. Hadir ke sekolah hanya sekadar satu syarat kerana ia adalah norma dan budaya. Semua rakyat Malaysia (bahkan dunia) sedar bahawa sistem pendidikan konvensional menghalakan pelajarnya ke arah bottle neck dan bottom down.


Di dalam suatu siri rancangan Komediri, Harith Iskandar berkongsi pengalamannya (atau direka).


“Semasa saya berada di darjah enam, ibu bapa saya berkata bahawa UPSR itu adalah permulaan yang menentukan masa depan. Saya belajar dan mendapat keputusan yang cemerlang. Semasa di tingkatan 3, ibu bapa saya memberitahu bahawa UPSR itu tiada apa-apa. PMR (sekarang PT3) ini lebih penting bagi menentukan aliran yang akan saya ambil kelak.”


“Sekali lagi saya berusaha dan belajar dengan tekun. Akhirnya saya berada di tingkatan 5. Ibu bapa saya selalu berpesan dengan serius. Harith, inilah penentu masa depan. Kalau gagal, musnahlah hidupmu. Pendek cerita, saya berjaya menamatkan pengajian di universiti dan mendapat segulung ijazah sarjana muda.”


“Suatu hari, saya pergi temu duga kerja. Saya bawa fail penuh dengan sijil saya sejak UPSR lagi. Soalan pertama yang ditanya oleh penemuduga; ‘awak ada pengalaman kerja?’”


Hakikat yang memedihkan


Pada masa hadapan (ia sudahpun bermula), kita akan saksikan ramai remaja, terutamanya daripada golongan pertengahan ke bawah, meninggalkan (sistem) persekolahan lebih awal atau sekurang-kurangnya mengabaikannya. Bukan kerana mereka malas atau tidak pandai, tetapi mereka berasa bahawa mereka tidak akan ke mana-mana jika mereka terus berada di dalam kelas. Ia terlalu bosan dan tidak bermakna. 

Terima sahaja hakikat bahawa guru di sekolah hanya mahu murid – murid mendapat gred A supaya mereka tidak ‘diserang’ oleh pihak pentadbir! Suatu hakikat yang memedihkan.


Perhatikan beberapa trend yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Kebangkitan Perantis. Berabad lamanya, golongan muda belajar kraf, pertukangan dan seni di bawah tunjuk ajar seorang Maha Guru yang berpengalaman. Maha Guru ini pula akan menilai dan menguji seseorang anak muda sebelum menerimanya sebagai Perantis. Dia berharap agar semua ilmu dan kemahirannya dapat diperturunkan kepada perantisnya. Kaedah ini akan bangkit semula sebagai aliran utama kelak dan ia akan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu. Homeschooler adalah golongan awal yang mengadaptasi sistem ini. 


Manakah yang lebih menarik? Belajar ilmu penyelenggaraan paip dengan guru subjek Kemahiran Hidup atau seorang tukang paip? Sistem pendidikan sedia ada memisahkan antara belajar dan praktikal. Sekali lagi, hakikat yang memedihkan!


Usahawan Budak Sekolah


Berputiknya usahawan budak sekolah. Hari ini, jika anda sedar, pelajar sekolah rendah dan menengah sudah pun membuka kedai di instagram dan mempromosikan Facebook page perniagaan mereka. Mereka sudahpun menjadi ejen bebas lebih awal sebelum mendapatkan lesen memandu. Usahawan budak sekolah ini belajar secara praktikal. Ada tiga ciri kritikal yang akan menjadikan usahawan remaja ini berjaya suatu masa kelak. Pertama, mereka melihat dunia dalam perspektif berbeza, mungkin perspektif yang lebih segar. Kedua, minat yang sangat mendalam di atas keupayan mereka sendiri. Ketiga, mereka tidak mahu menjadi seperti ibu bapa mereka (atau mungkin seperti ibu bapa mereka jika ibu bapa mereka usahawan berjaya).


Penurunan nilai sijil pengajian tinggi. Suatu masa dahulu, diploma dan ijazah merupakan pingat emas kepada siswazah dan ia disanjung tinggi. Hari ini ia sudah menjadi komoditi. Hampir semua generasi muda memilikinya dan ia seperti tidak berguna. Namun, kementerian pelajaran terus menerus berusaha memperkenalkan pelbagai ujian baru yang perlu dilepasi untuk pelajar memperolehinya. Mempiawaikan setiap pelajaran dan ujian untuk semua pelajar. 


Hari ini, kebanyakan homeschooler dan ejen bebas menyertai apa-apa program pendidikan adalah untuk mendapatkan kemahiran tertentu dan bukannya untuk mendapat sekeping kertas pengiktirafan. Keinginan mereka untuk mendapatkan ilmu merentasi silibus dan semester. Kalau seseorang homeschooler perlu meninggalkan kelas sebelum tamat pengajian untuk mengejar ilmu yang lebih luas, mereka akan berbuat demikian. Ingat ini! Steve Jobs dan Steven Spielberg tidak pernah menghabiskan kolej. Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga tidak pernah belajar di universiti.


Dalam beberapa dekad lagi, kita mungkin melihat sekolah dan institusi pendidikan seperti kolej dan universiti hilang peranan dalam membangunkan generasi masa hadapan. Peranan ini kemungkinan besar akan diambil alih oleh ejen bebas. Kita akan saksikan kemunculan komuniti pengajar bukan guru yang menyampaikan ilmu yang lebih bermanfaat berbanding silibus di sekolah.