Pendidikan Dakwah: Falsafah dan Ekosistem Persekolahan


oleh: 

Hasri bin Harun

Pensyarah

Pusat Pembangunan Pengajian Asasi, Universiti Selangor

Institut Maqasid Syariah UNISEL


Pendahuluan


Pendidikan adalah merupakan suatu proses pembentukan melalui kesedaran dan melatih diri insan melaksanakan sesuatu berdasarkan pemahaman dan membentuk diri, jiwa dan amalan supaya melakukan sesuatu dengan sedar dan mencapai sesuatu objektif. Menurut Mahyuddin & Ahmad Tajuddin (2016) pendidikan secara umumnya adalah segala upaya yang direncanakan untuk mempengaruhi orang lain baik individu, kelompok atau masyarakat sehingga mereka mereka melakukan apa diharapkan oleh pelaku pendidikan. Manakala menurut Fuad (2010) pendidikan adalah usaha manusia untuk menumbuhkan dan mengembangkan potensi pembawakan watak baik jasmani mahupun rohani sesuatu dengan nilai-nilai ada dalam kalangan masyarakat dan kebudayaan.


Memahami Falsafah holistik


Falsafah merupakan disiplin keilmuan yang bertaraf induk atau ibu kepada segala disiplin. Menurut Ghazali (2016) falsafah adalah merupakan satu disiplin menjelaskan segala hakikat yang menyangkut soal kewujudan, soal ilmu pengetahuan, soal nilai dan soal kesudahan yang terdapat dalam semua disiplin ilmu. Isu dalam sekitar pendidikan Islam ini akan dibincangkan dalam 2 perspektif yang melatari permasalahan yang berlaku. Sistem pendidikan menurut kaca mata Islam di dalam negara ini boleh dinilai dan dibuat analisa berdasarkan kepada beberapa sektor; Pertama adalah dari segi Falsafah dan Matlamat. Menurut Abd Halim (2009) menyatakan dalam membuat penilaian perlu dinilai apakah falsafah pendidikan Islam ini benar-benar difahami oleh seluruh tenaga pengajar. Falsafah pendidikan Islam ini adalah suatu yang berkait rapat dengan sistem nilai dan kepercayaan dan keyakinan kepada agama. Ia tidak dapat dipisahkan oleh bentuk-bentuk tersebut. Menurut Ashraf (1988) Pendidikan Islam itu terkait dengan soal spiritualiti:


Faith and knowledge must go hand in hand. Faith is a spiritual gift and knowledge in an intellectual acquisition through the use of man's intellect 'aql. ... Islam does not allow the Muslims to dichotomize life and divide it into that which belongs to God (Divine) and that which belongs to Caesar (secular). Islam wants education to be a process in which curriculum and teaching methods help each individual to unfold its own unique potentiality as representative of God on the earth.


Justeru kefahaman falsafah pendidikan terutama pendidikan Islam lebih lengkap dalam membawa pembentukan nilai dan jati diri dan mencakupi tujuan proses kemenjadian insan secara menyeluruh. 


Pelaksanaan pendidikan


Perkara kedua yang menjadi tumpuan dalam aspek pendidikan Islam ini adalah bagaimana proses pelaksanaan itu dijalankan supaya pendidikan itu akan menghasilkan natijah yang baik. Beberapa persoalan harus timbul. Antaranya  adalah sejauh manakah pelaksanaan pendidikan bertepatan dengan prinsip mendidik, melatih, membimbing dan sebagainya. Pesoalan yang wajar ditimbulkan adakah pendidik sedia ada benar-benar menjadi pendakwah kepada pelajar atau anak didik mereka? Barang kali dengan tuntutan dan kekangan kemodenan yang meruntun para pendidik benar-benar menggalas amanah pendidikan.


Dalam perkembangan evolusi pendidikan, pelbagai perubahan dasar yang dilakukan dengan tujuan penambahbaikan sistem dan sebagainya, kadangkala memberi kesan besar terhadap motivasi pendidik dalam bi’ah pendidikan. Keperluan yang harus dituju iaitu mendidik dalam erti yang luas memerlukan pengorbanan dan masa yang lebih dengan cita-cita merangkul gred dan kejayaan besar yang disasarkan oleh pihak pembuat dasar pendidikan. Ini antara pertembungan yang kadang kala memberi kesan kepada pelaksanaan pendidikan dengan lebih besar.


Dakwah dan Pendidikan


Dakwah berasal dari bahasa Arab yang دعا-يدعو menjadi bentuk masdar دعوة yang bermaksud seruan, ajakan, atau panggilan. Seruan yang digunakan dalam Dakwah bertujuan untuk mengajak seseorang baik dalam melakukan sesuatu kegiatan atau dalam merubah pola serta kebiasaan hidup. Dari kata Seruan, Dakwah memiliki banyak erti yang digunakan secara luas tidak hanya dalam Agama, di mana kata Dakwah sering digunakan namun Seruan yang diberikan akan dimaknai dalam hal positif maupun negatif.  Penggunaan kata Dakwah merujuk ajakan, atau seruan yang disampaikan kepada seseorang untuk berubah kearah yang lebih lebih baik. Asal kata Dakwah yang berasal dari bahasa Arab dan juga dibawa oleh orang arab membuat kata Dakwah sendiri telah mengalami pergeseran makna. Pergeseran makna Dakwah menjadi meruncing hanya pada Seruan yang dilaksanakan oleh seseorang dalam Ajaran Islam. Dalam kehidupan sehari-hari, kata Dakwah memiliki dua arti kata yakni negatif dan juga positif yang secara sederhana dapat diertikan .


Umumnya pendidikan dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Memang pendidik dari segi asas dan peranan mereka adalah pendakwah, menepati ciri dan tanggungjawab para rasul iaitu merubah pemikiran, menyalur ilmu dan membentuk sahsia keinsanan agar mengenali pencipta dan melahirkan insan yang bermanfaat kepada masyarakat.


Kaedah Pembelajaran menerusi Pendekatan Dakwah


Umumnya mengetahui betapa pentingnya dakwah sebagai mekanisme menyampaikan risalah Islam dengan jayanya berteraskan prinsip-prinsip Islam. Melalui mekanisme dakwah dan memahami pendekatan dakwah dalam mendidik, maka pendidik itu mampu untuk mencapai tahap berkesan dengan kata lain diterima baik oleh mereka yang dididik. Islam adalah agama yang diturunkan secara berperingkat-peringkat. Oleh itu, pendekatan dakwah amat sesuai untuk dilaksanakan menepati ciri-ciri kepimpinan Rasulullah SAW, justeru membina ekosistem dakwah di sekolah sangat penting.


Guru adalah Daie


Umumnya guru adalah merupakan seorang insan yang dihargai dan dihormati oleh masyarakat. Guru yang hebat adalah mereka yang mampu merentasi lebih daripada mengajar di bilik darjah bahkan mampu dan berkeupayaan membimbing murid kepada jalan yang lebih baik.  Menurut Ghazali (2016) guru atau pengajar adalah orang yang ditugas memberi didikan kepada anak didiknya apabila difahami dengan pelbagai seksyen bahawa guru adalah pengajar tanpa ditekankan soal daie, pentarbiyah, atau pembimbing, maka nilai guru itu amat kurang impaknya dari segi sudut Islam. Inilah kekangan yang dihadapi guru bila mana pendidikan itu sekadar melaksanakan memindahkan maklumat, bukan memindahkan nilai dan tanggungjawab. 


Pendidikan di bilik darjah dengan sistem dan modul yang cukup padat bagi anak murid kadang kala menjadi faktor kekangan untuk guru berperanan lebih kepada muridnya. Namun kita percaya bahawa dengan kefahaman dan kecerdikan guru, mereka harus lebih pro aktif dalam memimpin anak murid. Guru hebat dalam sekolah tidak hebat jika tidak hebat juga di luar waktu sekolah. Membawa murid mengenal erti program, melatih mereka secara suka rela secara sedar mampu untuk guru berperanan lebih. Kadang kala bukan guru perlu menambah masa untuk memberi ruang namun cara dan pendekatan guru menggunakan masa dan mendidik anak-anak pelajar dalam memanfaatkan masa mereka.


Murid adalah mad’u


Sasaran besar dalam persekitaran dakwah di sekolah adalah para murid. Anak murid adalah mereka yang menjadi tempat yang mana guru menyalurkan ilmu dan maklumat agar murid akan mampu meneruskan kehidupan keilmuan mereka. Pendidik yang berilmu serta berpengalaman adalah mereka yang tahu bagaimana menggunakan peluang untuk memanfaatkan medan sekolah sebagai ruang dakwah. Amat hebat sekali bagi seorang guru mereka mempunyai ratusan pelajar dalam satu tempoh yang sama untuk dididik mengenal diri, mengenal Tuhan, mengenal erti perjuangan dalam kehidupan mereka.


Sekolah sebagai medan dakwah


Seperkara lagi yang wajar ditelaah dalam konteks Pendidikan dan dakwah adalah bagaimana memahami persekitaran sekolah adalah merupakan medan dakwah yang paling berkesan dalam mendidik manusia untuk memperbaiki diri dan hati. Pendidik yang lahir dalam dunia pendidikan memahami bahawa mereka adalah seseorang yang amat bermakna dalam membimbing anak murid yang berjaya tidak hanya di dalam kelas tetapi di dalam persekitaran sekolah. 


Pendidik yang berjiwa daie tidak semata-mata hebat dari segi ilmu dalaman menyampaikan ilmu kepada pelajar tetapi mampu membimbing persekitaran sekolah, pengurusan dan membantu daya dan usaha membangkitkan suasana pendidikan yang kondusif bertepatan dengan ciri Islami. Berapa banyak komen dan pandangan sesetengah masyarakat yang menyatakan ada kalangan persekitaran sekolah tidak memberi kesan ketenangan dan indah sebagai tempat menuntut ilmu, tidak membantu persekitaran bukan bermakna dari segi material, infrastruktur semata-mata tetapi jiwa insan-insan yang hadir dalam persekitaran sekolah kadang kala amat menyedihkan.


Falsafah pendidikan Negara


Falsafah Pendidikan Negara adalah satu bentuk cita-cita yang dibentuk bagi melahirkan insan yang berkualiti dan mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan. Namun falsafah yang digagaskan ini amat indah dari segi bahasa dan susunan ayatnya dalam bentuk yang tersusun dan ianya tidak mudah dilaksanakan jika pelaksana dan perancang tidak benar-benar memahami dan mengetahui matlamat akhir pendidikan walaupun kenyataan itu telah dijelaskan dalam bahasa yang amat indah. Antara kenyataan Falsafah pendidikan seperti berikut :


"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.  Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Menurut Ahmad (2001) bahawa Falsafah sesuatu gagasan tidak akan mampu dilaksana jika kayu ukur pelaksanaan tidak diletak pada sasaran yang sebenar. Dalam laporan yang dikeluarkan oleh media massa bahawa kejayaan sesuatu pendidikan itu tidak akan dapat dilaksana jika falsafah hanya tinggal falsafah tapi tidak difahami maksud sebenar falsafah tersebut.


Proses mengembangkan potensi individu dinyatakan dalam falsafah pendidikan negara. Pengembangan potensi harus dilakukan secara holistik dan menyeluruh. Peningkatan daya intelek, kekuatan jasmani dan doktrin keagamaan adalah antara nilai yang wajar dikehadapan kepada insan agar setiap pembangunan tidak terbantut di tengah jalan.


Falsafah Pendidikan Islam


Apabila membicarakan tentang Falsafah Pendidikan Islam ia bertitik tolak tentang aspek apakah makna pendidikan dari sudut Islam, kedua siapakan pendidik dan ketiga kemana arah dan hala tuju pendidikan. Inilah antara aspek yang biasa dibicarakan oleh para sarjana apabila wacana pendidikan islam diketengahkan.


Falsafah pendidikan islam adalah suatu usaha berterusan bagi menyampaikan ilmu, mengenal diri dengan pencipta dan mengetahui akan arah dan hala tuju kehidupan berdasarkan panduan Al-Quran dan sunnah. Menurut Ghazali (2016), pendidikan Islam apabila dibicara harus memasakkan satu kefahaman bahawa memahami konsep mendidik perlu berdasarkan kepada panduan Al-Quran. Quranic Education adalah salah satu daripada teori dan pendekatan yang wajar diketengah hasil daripada pemahaman tentang pendidikan Islam.


Aspek kedua dalam membicarakan tentang pendidikan islam adalah aspek pendidik itu sendiri. Siapa yang sebenarnya adalah pendidik? Bagaimana pendidik itu bertindak secara terus sebagai model untuk menyampaikan ilmu. Apakah pendekatan yang harus dilakukan oleh seorang pendidik supaya dia akan terus diingati dan disegani akibat daripada ilmu yang dimiliki dan bagaimana ilmu itu disampaikan seperti empat peranan guru berikut: 


  1. 1.Guru sebagai Murabbi


Istilah murabbi biasa dikaitkan dengan kefahaman tentang sifat ketuhanan. Justeru amat besar sekali nilai seorang guru juga elemen murabbi difahami dengan mendalam kerana kedudukan guru yang benar-benar berjiwa murabbi amat besar di sisi Allah. Menyedari hakikat ini bahawa profesyen guru amat tinggi nilainya dan tugasan ini seumpama sama nilainya dengan ibadah yang menghendaki keikhlasan, kesungguhan dan ketabahan.


  1. 1.Guru sebagai Murshid


Manakala mursyid pula ada hubung kaitnya dengan penyerlahan kebenaran mengatasi kebatilan. Menyerlahkan atau mengangkat kebenaran adalah ciri para rasul dan ambiya wal mursalin. Istilah mursyid kepada kalangan guru yang alim dan berilmu amat digunakan bagi menggambarkan petunjuk dan bimbingan kepada murid.


  1. 1.Guru sebagai Mua’llim


Muallim atas kata dasar mengajar. Tugas guru adalah mengajar, mengatur dan membimbing. Dalam konteks ini memang benarlah bahawa Allah telah memulakan amanah mengajar Adam Alaihis Salam dengan Ilmu sebagai khalifah utama dalam sejarah kemanusiaan. Seorang yang bergelar muallim sebenarnya berusaha menyediakan bahan dan persiapan dengna segala keupayaan yang baik bagi memastikan ianya dapat dimanfaatkan oleh murid. Menyedari hakikat ini maka guru sebagai daie dihadapan Allah harus beraam untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing


  1. 1.Guru sebagai Mudarris


Mudarris sama seperti istilah lain dipakai bagi maksud guru. Mudarris mengajar dengan kitab dengan aspek yang sudah jelas, penjelasan dan melaksanakan apa yang telah ditugaskan Guru atau mudarris adalah golongan yang Allah kurniakan ilmu untuk dijelaskan dan disampaikan kepada golongan sasaran.


Kesimpulan

Sebagai pendidik adalah suatu perkara yang amat penting dalam konteks membentuk diri insan iaitu mempunyai keilmuan dan kefahaman yang jelas terhadap sesuatu perkara yang akhirnya akan memindahkan maklumat tersebut dengan jelas dan mengakhirkan kepada natijah sesuatu yaang baru. Mendidik dalam konteks umum adalah suatu tindakan yang amat baik iaitu proses transfer yang knowldge, skills dan membentuk minda dan pemikiran suapaya dapat melakukan suatu yang boleh mencapai sesuatu matlamat. 

Begitu juga Menurut Mahyudin (2016) dalam memahami pendidikan terdapat beberapa pra-syarat memahami pendidikan secara holistik iaitu meliputi pendidikan adalah proses mengubah sikap dan tata laku seseorang atau kelompok dalam usaha mendewasakan manusia melalui upaya pengajaran dan pelatihan, selain itu juga ia merupakan proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif mengembangkan potensi diri untuk memiliki kekuatan spiritual, keagamaan, kecerdasan, akhlak mulia dan keterampilan, yang mana kesemua ini memerlukan pendekatan pendidikan dakwah dalam segala ekosistem persekolahan.