TIMSS dan PISA: Di Mana Malaysia?


oleh: Radin Muhd Imaduddin bin Radin Abdul Halim


Programme for International Students Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) merupakan dua jenis pentaksiran atau kajian pendidikan antarabangsa yang sangat dihormati dan berpengaruh di seluruh dunia. Kedua-dua kajian ini memberikan maklumat berkaitan pencapaian murid dalam standard kebangsaan, dan dapatan ini juga, serba sedikit, boleh dijadikan suatu ukuran pencapaian kualiti pendidikan negara di peringkat antarabangsa. 


Tujuan Kajian TIMSS dan PISA


Kajian TIMSS dapat memberikan maklumat tentang keberkesanan perancangan, pelaksanaan dan penyampaian kurikulum sains dan matematik kepada murid. TIMSS dibangunkan berasaskan kepada kerangka kurikulum dengan tiga komponen yang dipanggil ‘Kurikulum yang dihasratkan’, ‘Kurikulum yang dilaksanakan’, dan ‘Kurikulum yang dicapai murid’, yang mana ketiga-tiga komponen ini mempunyai suatu nilai dalam membantu sesuatu negara untuk memantau dan menilai pengajaran sains dan matematik merentasi masa dan gred (Mullis, Martin, Ruddock, O’Sullivan, Arrora, & Erberber 2005, p.10). Domain kognitif yang dikenal pasti bagi setiap item dalam TIMSS dikategorikan sebagai pengetahuan, aplikasi, dan penaakulan. 


Tujuan utama kajian PISA pula ialah untuk mentaksir keupayaan literasi matematik, saintifik dan literasi bacaan dalam kalangan murid. Selain itu, PISA juga mengambil kesempatan pada satu-satu pusingan kajiannya untuk turut mengkaji literasi seperti Kemahiran berkolaboratif, literasi kewangan, dan literasi penyelesaian masalah kreatif. PISA tidak mengkaji keberadaan suatu kurikulum, tetapi mengkaji keupayaan murid berkaitan dengan Literasi. Literasi didefinisikan sebagai sejauh mana murid menyediakan diri mereka untuk berhadapan dengan cabaran yang mungkin ditempuhi dalam kehidupan masa depan (OECD, 2006 p.7).


Walaupun begitu, masyarakat antarabangsa juga ada yang mengkritik kajian antarabangsa seperti TIMSS dan PISA, yang menghujahkan isu seperti dalam konteks kerangka, keesahan pentaksiran, cara item dibangunkan, proses pengukuran, dan kesimpulan atau pentafsiran yang dibuat serta kesannya, terutama pentafsiran yang mengakibatkan terdapat seperti suatu pertandingan yang punya ‘jadual liga’ (Jones, 2005). Selain itu, terdapat juga debat berkaitan faktor pemboleh ubah yang pelbagai seperti gender, etnik, status sosio ekonomi, karekteristik yang sistemik, sokongan ekonomi, dan lain-lain (OECD, 2004b). 


Di Mana Malaysia?


Walau apa pun, Malaysia merupakan salah satu negara yang menggunakan kajian antarabangsa TIMSS dan PISA bagi memberikan satu kayu ukur kepada pencapaian pendidikan negara, seperti yang disuratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM). Kayu ukur ini digunakan, maka, amat wajar untuk Malaysia memberikan keutamaan kepada matlamat kajian ini daripada dapatan kajiannya. Setakat rekod pencapaian Malaysia dalam kedua-dua pentaksiran ini, kedudukan Malaysia menunjukkan pencapaian yang agak rendah, iaitu secara keseluruhannya berada dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan negara peserta. 


Skor Malaysia bagi kajian TIMSS dan PISA, serta perbandingan skor purata antarabangsa/OECD untuk setiap pusingan pentaksiran dipaparkan seperti dalam Jadual 1 hingga Jadual 5. 


Jadual 1: TIMSS (Sains)

Tahun

1999

2003

2007

2011

2015

Skor Malaysia

492

510

471

426

471

Skor Purata Antarabangsa

488

474

466

477



Jadual 2: TIMSS (Matematik)

Tahun

1999

2003

2007

2011

2015

Skor Malaysia

519

508

474

440

465

Skor Purata Antarabangsa

487

467

450

467



Jadual 3: PISA (Literasi Saintifik)

Tahun

2009

2012

2015

Skor Malaysia

422

420

443

Skor Purata OECD

501

501

493


Jadual 4: PISA (Literasi Bacaan)

Tahun

2009

2012

2015

Skor Malaysia

414

398

431

Skor Purata OECD

494

497

493


Jadual 5: PISA (Literasi Matematik)

Tahun

2009

2012

2015

Skor Malaysia

404

421

446

Skor Purata OECD

496

494

490



Yang dibimbangi apabila membaca data-data ini ialah apabila dipecahkan skor peserta kepada tahap penguasaan mengikut penandaarasan pencapaian. Dalam TIMSS, tahap penguasaan dibahagi kepada empat, iaitu Tahap Tertinggi, Tahap Tinggi, Tahap Sederhana dan Tahap Rendah. Untuk kompetensi Matematik, pada tahun 1999, sebanyak 10% murid mencapai Tahap Tertinggi, menurun untuk tiga pusingan berikutnya, iaitu hanya 2% pada 2011 dan 3% pada 2015. 


Pada tahun 1999 juga, murid Malaysia yang mencapai Tahap Rendah dan di bawah Tahap Rendah (below scale) ialah 30%. Jumlah ini bertambah dengan signifikan kepada 64% pada tahun 2011 namun berkurangan sedikit kepada 55% pada tahun 2015. Sebagai perbandingan, terdapat sebanyak 54% murid negara Singapura yang berada pada Tahap Tertinggi pada 2015, dan 5% sahaja murid yang berada pada Tahap Rendah dan di bawah Tahap Rendah (BPPDP, 2016).


Kompetensi Sains juga mengikut trend yang sama dan menakutkan. Pada tahun 1999, sebanyak 5% murid mencapai Tahap Tertinggi, menurun kepada 1% sahaja pada 2011 tetapi meningkat kepada 3% pada 2015. Manakala, yang mencapai Tahap Rendah dan di bawah Tahap Rendah ialah 41% pada tahun 1999, menuruh dengan signifikan kepada 66% pada tahun 2011, tetapi berjaya mengurangkannya kepada 48% pada 2015 (BPPDP, 2016). Sekali lagi, sebagai perbandingan, terdapat 42% murid negara Singapura yang berada pada Tahap Tertinggi pada 2015, dan 10% murid yang berada pada Tahap Rendah dan di bawah Tahap Rendah. 


Dalam PISA pula, tahap penguasaan dibahagi kepada enam aras; Aras 1 paling rendah (skor 358 – 420), aras 3 sederhana (skor 482 - 545), dan aras 6 yang paling tinggi (skor 669 ke atas). Untuk memahami makna kepada skor tahap penguasaan, dilampirkan contoh deskripsi bagi Literasi Matematik skor aras 6 yang ditulis seperti berikut:

“At Level 6, students can conceptualise, generalise, and utilise information based on their investigations, as well as model complex problem situations. They can link different information sources and representations, besides flexibly translating among them. Students at this level are capable of advanced mathematical thinking and reasoning. These students can apply their insights and understandings, along with mastery of symbolic and formal mathematical operations and relationships, to develop new approaches and strategies for attacking novel situations. Students at this level can formulate and precisely communicate their actions and reflections regarding their findings, interpretations, arguments, and the appropriateness of these to the original situations.”

Sebagai perbandingan, daripada jadual 5, skor murid Malaysia berada dalam tahap penguasaan di antara 404 – 446, iaitu Tahap Penguasaan Aras 1 dan Aras 2. Deskripsi untuk aras 2 (bagi Literasi Matematik) ditulis seperti berikut:

“At level 2, students can interpret and recognise situations in contexts that require no more than direct inference. They can extract relevant information from a single source and make use of a single representational mode. Students at this level can employ basic algorithms, formulae, procedures, or conventions. They are capable of direct reasoning and in making literal interpretations of the results.” 

Penutup


Daripada deskripsi di atas, ini menunjukkan bahawa murid kita hanya mampu untuk menyelesaikan permasalahan yang mudah dan ringkas. Mod jawapan juga bersifat tunggal dan hanya mampu menggunakan asas algorima, formula atau prosedur. Murid kita juga hanya mampu membuat penaakulan yang langsung dan pentafsiran yang secara literal sahaja. 


Deskripsi bagi lain-lain kategori literasi juga memberikan konotasi dan makna yang hampir sama, dalam konteks masing-masing, seperti Literasi Penyelesaian Masalah secara Kreatif yang Malaysia sertai pada OECD-PISA 2012. Pencapaian Malaysia untuk literasi itu ialah skor 422, iaitu dalam aras terendah, iaitu aras 1. Lebih menyedihkan, secara terkumpul, lebih 50% murid kita dikategorikan dalam aras 1 dan ke bawah bagi Literasi Penyelesaian Masalah Secara Kreatif (OECD, 2014, p.58). 


Sesungguhnya ini sangat membimbangkan dan seterusnya memberikan persoalan besar kepada negara dan masyarakat akan kualiti dan hasil sistem pendidikan. Adakah begini standard murid Malaysia? Namun, apakah faktor bagi memastikan matlamat sistem pendidikan tercapai? Jelasnya, kita tidak mahu berada di kedudukan seperti ini lagi.