Transformasi Pendidikan Kebangsaan: Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan 


Dasar pendidikan kebangsaan telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 dan Akta Pelajaran 1961 serta diluas dan dimantapkan lagi dalam Akta Pendidikan 1996. Pertama, dasar ini menegaskan mengenai sebuah sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Kedua, murid-murid dididik menurut kemahuan ibu bapa. Ketiga, bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar utama. 


Dasar-dasar ini pula digubal berdasarkan kepada hasrat memajukan masyarakat dan negara serta mewujudkan perpaduan. Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, dasar-dasar tersebut diluas dan dimantapkan lagi dengan mengambil kira wawasan negara dan perkembangan global.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) diungkap secara rasmi padi tahun 1988 sebagai visual kepada idealisme, visi dan misi yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan. Inti patinya adalah pembangunan insan secara menyeluruh, seimbang dan sepadu secara berterusan berteraskan kepercayaan kepada Tuhan. Teks FPK kemudiannya dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. 


Akta Pendidikan 1996 juga mencatatkan seluruh dasar pendidikan berlandaskan kepada FPK dan intipatinya ialah pembangunan insan. Namun, semenjak merdeka, terdapat usaha-usaha yang tidak seragam dengan matlamat perpaduan dan kemajuan bangsa Malaysia selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan. Malah, dewasa ini, terdapat pola pemikiran yang ketara dalam mewujudkan sekolah bersifat elitis, eksklusif dan rabun dekat (short sighted) dalam melihat agenda perpaduan dan pembangunan negara dalam jangka panjang. 


Dasar bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah sering dan masih terganggu-gugat; malah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sendiri melaksanakan dasar PPSMI secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan sensitiviti keilmuan yang cukup mendasar. (Nota: Pada tahun 2017, sekolah yang mengikuti program DLP mencecah hampir 1000 buah sekolah. Terdapat maklumat menunjukkan ada sekolah yang ‘dipaksa rela’ dan terdapat keraguan dalam pelaksanaan program DLP ini, termasuk cara sekolah diambil, pengurusan buku sumber, peruntukan kewangan yang luar biasa tingginya, dll)   


Jati diri umat yang lemah dengan kekaguman kepada kebudayaan inggeris secara keterlaluan mengakibatkan pandangan sarwa  turut berkiblatkan inggeris dan beranggapan segala amalan masyarakat inggeris adalah baik belaka. Malah terdapat kumpulan-kumpulan ini secara terus-terusan memberi desakan untuk mewujudkan kembali sekolah aliran inggeris usai kerajaan memansuhkan PPSMI. 


Susulan pemansuhan PPSMI, perlaksanaan pemulihan untuk kembali ke landasan yang tepat seperti yang sepatutnya, dilihat seperti dilengah-lengahkan dengan memperkenalkan dasar pemulihan MBMMBI sehingga tahun 2020. Oleh yang demikian, tindakan tergesa-gesa menukar suatu dasar tanpa pengkajian yang teliti (research-based policy) mengakibatkan kerugian kepada negara dalam aspek kewangan dan sumber manusia, termasuk wawasan negara pada jangka panjang.


Berkaitan dengan FPK pula, penekanan kepada pembangunan insan yang menyeluruh, seimbang dan sepadu dilihat tidak lagi menjadi agenda penting apabila daripada unsur jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI), unsur intelek diberi penekanan yang keterlaluan dalam penilaian murid. Ini bermakna, pembentukan watak dan jati diri bangsa Malaysia yang unggul dan luhur telah diabaikan.


Kefahaman guru sebagai pelaksana kurikulum tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang menerapkan elemen falsafah tidak dapat dijelmakan pada mata pelajaran yang diajar, apatah lagi nilai yang merentasi kurikulum. Akhirnya, keghairahan dan semangat FPK telahpun padam ditelan keutamaan peperiksaan awam yang telah hilang ruh dan semangat FPK. 


Langkah penting untuk bergerak kehadapan dicatatkan atas rasional dan kesedaran yang tinggi terhadap asas pembinaan falsafah pendidikan itu sendiri, yana mana dasar pendidikan yang telah dimaktubkan adalah penting untuk dilaksanakan secara serius oleh semua pemimpin utama KPM yang terlibat (political will), dengan meneruskan amalan terbaik dari yang sebelumnya dan bersifat jangka panjang dan berterusan. 


Hasrat utama pendidikan negara adalah sebagai ejen perpaduan, ejen pembangunan modal insan, dan ejen pembangunan negara dalam menyediakan landasan terbaik untuk negara menjadi negara maju. Lantas, hasrat ini perlu diusahakan dan disempurnakan dengan menambah baik mana-mana aspek yang lemah, terutama aspek pelaksanaan kurikulum; bukan disalah tafsir dengan langkah-langkah yang mengundur ke belakang.  


Daya pencapaian suatu bangsa perlu dilihat dengan memperkasa budaya ilmu. Budaya ilmu pula terkait rapat dengan sejauh mana bahasanya mampu menjadi bahasa ilmu. Dalam kaitan ini, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu harus dilihat sebagai bahagian daripada agenda besar pemerkasaan budaya ilmu lantaran budaya ilmu inilah yang dapat membangkitkan keghairahan menguasai ilmu. Tanpa landasan motivasi budaya ilmu yang kuat, penguasaan bahasa Inggeris akan tetap lemah. Berapa ramai orang yang tidur-bangun dalam bahasa Inggeris, mimpi dan mengigau dalam bahasa Inggeris, memaki dan mencarut dalam bahasa Inggeris, tetapi dari segi ilmu tetap muflis.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan berperanan sebagai panduan dalam menggariskan hala tuju dan profil murid setelah tamat persekolahan. Pembangunan elemen JERI merupakan jaminan pembentukan insan, dan masyarakat yang baik dan berguna. Tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang beradab dengan erti kata tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya atau dipanggil ‘manusia budiman’ (good man); bukan sekadar ‘warga budiman’ (good citizen). Kegagalan membangunkan insan (memanusiakan manusia) mengundang risiko besar terhadap masa depan negara. Justeru, pilihan yang ada adalah untuk menzahirkan pendidikan yang menyeluruh dan seimbang dengan seutuhnya.


Pendidikan kebangsaan melalui FPK digarap untuk melahirkan pemimpin berwibawa pada masa depan dengan keterampilan dan watak jati diri yang utuh. Pemimpin tidak lahir dalam kekosongan. Mereka terbentuk dalam iklim dan persekitaran zaman dan lingkungan. Maka, persekitaran kondusif diperlukan terutama kebebasan dan kemerdekaan. Malaysia punya kemerdekaan, tapi masih mengikat potensi dan bakat murid dalam konotasi pendidikan/belajar yang sangat sempit iaitu dari aspek akademik semata-mata. Calon pemimpin perlu diberi ruang dan kebebasan yang luas untuk mengembangkan bakat; membina kemampuan berfikir dan memperkasa daya juang. Persekitaran budaya yang penuh sekatan, belenggu dan kongkongan tidak akan melahirkan pemimpin yang kritis, kreatif, cerdas dan berwawasan luas. Justeru, yang dapat dilahirkan dari iklim yang tidak mencerdaskan itu hanya budak-budak suruhan yang patuh, pasif dan submisif.


Maka, kami mencadangkan agar:


  1. 1.Dasar pendidikan yang telah dimaktubkan hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya secara berterusan dan bertertib tanpa diganggu-gubah termasuk pemimpin KPM. 


  1. 1.Dasar bahasa kebangsaan atau bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan hendaklah dipertahankan.


  1. 1.Rancangan memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan disusun dengan rapi dan mendasar pada setiap lapisan masyarakat tanpa merendah dan meremehkan kepentingan menguasai bahasa inggeris sebagai bahasa ekonomi dunia.


  1. 1.Menggarap dan menguasai kandungan ilmu (content knowledge) asasi pada peringkat asas persekolahan rendah dan menengah perlu menjadi keutamaan mutlak berbanding bahasa apa yang digunakan sebagai bahasa pengantar. Justeru, menggarap kekuatan ilmu pedagogi kandungan (pedagogical content knowledge) guru perlu diutamakan berbanding bahasa apa yang digunakan untuk mengajar. (Menguruskan keutamaan ini yang menjadi masalah kementerian selama ini)


  1. 1.Sebarang perubahan dasar pendidikan (malah semua dasar kerajaan) perlu kepada kajian mendalam (research-based policy) dengan jangka waktu kitaran kurikulum yang munasabah dan terbuka untuk bacaan umum dan komentar pihak berkepentingan (stake holders) sebelum dilaksanakan secara rintis mahupun secara perlaksanaan penuh.


  1. 1.Penerapan nilai tempatan melalui pembelajaran falsafah dan sejarah perlu diperkenalkan bagi memberi peluang murid dan guru untuk bertukar pandangan secara tertib, berfikir secara kritis dan kreatif, saling hormat-menghormati dan turut berpartisipasi dalam komuniti dengan komunikasi dua hala yang seimbang dan harmonis seperti model pembelajaran Philosophy for Children (P4C) (Matthew Lipman, 1972) dan model P4C yang ditambah baik dengan unsur ketuhanan, seperti program Hikmah (Rosnani Hashim, 2005)


  1. 1.Penerapan nilai seperti dalam FPK diterjemahkan secara jelas (explicit) dalam kurikulum dengan memberi peruntukan masa kredit (credit hours) dan masa temu (contact hours) yang luas dan munasabah supaya murid dapat menterjemahkan nilai jasmani, rohani, emosi dan intelek (JERI) dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran, serta menyemai dan mempraktis elemen kemahiran, afektif, psikomotor, sosial, dan insaniah (soft-skills)  berdasarkan model berikut dan ditambah baik mengikut citra FPK dan tempatan: 




    1. i.Model Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 

Murid perlu menyiapkan kajian/projek ilmiah, saintifik atau lapangan dalam tempoh masa tertentu, dan membuat persembahan serta pameran dan menulis laporan kajian sebagai syarat lulus.


Pada tempoh tertentu (kebiasaannya 1 minggu penuh), murid perlu menguruskan dan melibatkan diri dengan sesuatu program kemasyarakatan atau kesihatan/kesukanan seperti program anak angkat, program motivasi belajar, minggu Ko-Q, dan yang seperti dengannya.


Peluang kepemimpinan murid dilatih secara sistematik dengan terdapat organisasi murid yang mempunyai autoriti dalam bidang kuasa tertentu disamping membantu guru dan pentadbir menguruskan murid-murid lain.


Badan Perwakilan Pelajar (BWP) – Dipilih oleh murid-murid lain melalui sistem pilihan raya dan bertanggung-jawab dengan portfolio/bidang aktiviti murid yang utama seperti akademik, sukan, kebudayaan, makanan, kerohanian, dan sebagainya. 


Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) – Dipilih oleh guru melalui pemilihan berasaskan pencapaian akademik dan sifat tertentu. Badan ini bertanggung-jawab dengan hal disiplin dan pengurusan teknikal sekolah.


Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) – Dipilih oleh murid PRS senior melalui temu duga dan sifat tertentu. Badan ini bertanggung-jawab dengan Kaunselor sekolah sebagai rakan motivator, pembimbing isu dan hal afektif murid-murid lain. 


    1. i.Model International Baccalaureate (IB) –


Elemen bidang Interaksi (Area Of Interaction) memberi peluang untuk murid mengaplikasi nilai JERI serta elemen sosial, afektif, dan insaniah dalam mencapai makna kehidupan seperti yang ditulis dalam FPK dalam beberapa sub bidang seperti:


      1. a.Pendekatan pembelajaran
      2. b.Khidmat Komuniti
      3. c.Pendidikan kesihatan dan sosial
      4. d.Alam sekitar
      5. e.Kepintaran insan


Aspirasi murid untuk berpengetahuan dan berminda keantarabangsaan (international mindedness) serta memahami budaya setempat (cultural awareness) menjadi salah satu keutamaan misi IB. Apa yang menjadikan model ini berkesan, adalah masa yang besar diperuntukkan untuk pelaksanaan setiap elemen. 


Murid IB meletakkan standard profil sebagai matlamat akhir kesan daripada pembelajaran di institut IB, iaitu mempunyai kriteria seperti berpengetahuan, pemikir dan penduga ilmu, mampu berkomunikasi dengan baik, berprinsip, pengasih, sentiasa refleksi diri, mengambil risiko, dan seorang yang seimbang dalam jasmani, emosi dan intelek. 


Sub profil tambahan yang perlu diterapkan bersama adalah keseimbangan dari aspek kerohanian yang berteraskan ketuhanan.


Program IB dikatakan mempunyai kombinasi bidang yang dinamik dalam pengetahuan, kemahiran, pemikiran kritis dan kreatif, serta berminda keantarabangsaan (international mindedness). Dalam konteks tempatan, adaptasi dan memperibumikan model ini, mampu melahirkan murid yang kompetetif pada peringkat antarabangsa dengan jati diri tempatan yang utuh.


    1. i.Model Pondok Moden Gontor, Indonesia


Pondok Moden Gontor mengupayakan penggunaan bahasa inggeris dan bahasa arab sebagai bahasa pengantar dengan pembudayaan bahasa selama 6 bulan. Dalam tempoh tersebut, kesemua murid dan guru memerlukan latihan serius dan disiplin yang keras bagi penguasaan bahasa. 


Malaysia boleh mengambil pendekatan yang sama dengan adaptasi latihan bahasa ketiga (bahasa inggeris, bahasa arab, dan bahasa antarabangsa lain) pada aras selepas tingkatan 5 (pre-U) sebelum murid-murid keluar ke pelbagai lapangan termasuk kursus asas sebelum menceburi bidang pembelajaran utama (contoh, model Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Rasionalnya, pada aras ini, disiplin kandungan ilmu yang asasi telah dikuasai serta persediaan mental dan kematangan yang mencukupi.


Setiap murid perlu membuat latihan komuniti dalam tempoh tertentu sebagai guru / pendidik masyarakat sekitar secara praktikal sama ada di sekolah kerajaan mahupun sekolah swasta atau sekolah agama tempatan sebagai syarat graduasi. Secara tidak langsung, latihan pembinaan insaniah (soft-skill) dijana dengan begitu bersahaja tetapi formal dan secara tidak langsung memberikan khidmat yang diperlukan masyarakat pada hari ini, iaitu pembantu guru.