Transformasi Pendidikan Kebangsaan: Kualiti Keguruan

Oleh: Sekretariat Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

*Artikel ini ditulis semula dan dikemas kini dengan berasaskan memorandum ABIM kepada pihak KPM semasa Kajian Semula Pendidikan Transformasi Pendidikan Kebangsaan pada 2010 yang akhirnya menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025




Kualiti Keguruan


Guru menjadi tunggak dalam sistem pendidikan dan memainkan peranan yang amat penting untuk menjayakan visi, misi dan matlamat pendidikan. Untuk menjaminkan sekolah-sekolah mempunyai guru yang terlatih dan mencukupi KPM melalui IPGM dan KPT melalui IPTA memainkan peranan yang penting untuk melatih guru-guru untuk penempatan di sekolah rendah dan sekolah menengah.


Calon-calon pula diambil daripada graduan-graduan sekolah menengah (SPM/STPM) dan pemegang ijazah pertama. Perhatian harus diberikan kepada keadaan yang terlalu ketara berkenaan golongan wanita yang memohon untuk kerjaya guru berbanding lelaki. 


Bentuk latihan guru juga telah berubah-ubah dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti latihan dan kualiti guru-guru permulaan. Kini usaha-usaha dibuat untuk meningkatkan taraf kelulusan guru dari peringkat sijil/diploma ke peringkat ijazah dan program pengsiswazahan telah menambahkan bilangan guru-guru berijazah. Kursus-kursus dalam perkhidmatan juga dijalankan dengan tujuan untuk meningkatkan keilmuan, kemahiran dan keterampilan guru. 


Isunya, jawatan guru melalui skim laluan keguruan (DG) tidak menarik minat murid cemerlang (SPM / ijazah pertama) kerana secara relatif, status guru adalah rendah, kenaikan pangkat terhad dan lambat dan gaji tidak tinggi berbanding profesional lain, pada masa sama, banyak guru yang senior memohon untuk bersara awal atas tekanan bebanan kerja yang menggila.


Selain itu, tugas-tugas bukan pengajaran terus bertambah hingga membebankan guru dan menjejaskan tugas utama guru untuk mengajar murid. Sedangkan, guru yang baru menamatkan latihan keguruan masih memerlukan bimbingan dan pemantauan yang rapi semasa ditempatkan di sekolah. Lazimnya, amalan terbaik, idealisme dan kreativiti guru baru akan segera pudar kerana budaya sekolah yang tidak mesra perubahan.


Di samping itu, kadar guru wanita jauh melebihi guru lelaki, dan keadaan ini menimbulkan masalah di sekolah menengah kerana sukar untuk mengawal disiplin murid-murid. Selain itu, gaya pengajaran guru wanita tidak lagi sesuai untuk murid lelaki peringkat menengah dan ini merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi tumpuan dan prestasi murid lelaki.


Kita sedar bahawa kualiti pendidikan dan kualiti sekolah sangat ditentukan oleh kualiti guru. Guru juga merupakan tonggak sistem pendidikan, maka untuk menjaminkan sistem itu kuat maka guru juga perlu kuat. Kekuatan guru bersandarkan kepada tiga tunjang : penguasaan ilmu yang mantap, keterampilan pedagogi atau pengajaran, dan sahsiah serta watak yang baik. 


Profesion keguruan perlu dijadikan profesyen yang ulung untuk menarik calon-calon yang berkualiti dan cemerlang. Justeru, laluan kerjaya guru yang jelas dan menarik perlu diwujudkan selain peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih banyak. KPM merupakan agensi kerajaan yang mempunyai struktur yang besar daripada KPM-JPN-PPD-Sekolah. Dengan sumber manusia yang besar, laluan kerjaya menggunakan skim yang sama dengan agensi lain adalah tidak munasabah dan menimbulkan ketidak adilan dari segi peluang kenaikan pangkat dan kekananan sekaligus menjadi unsur penolak murid/graduan cemerlang menceburi bidang keguruan. Maka, skim perkhidmatan yang baru, yang lebih besar dan berbeza diperlukan bagi memenuhi hasrat ini.


Selain itu, tahap keilmuan, kemahiran dan semangat guru perlu disegarkan dan digilap secara berterusan untuk memastikan guru-guru sentiasa peka, kemaskini dan berupaya menangani cabaran-cabaran yang berubah dan beraneka. 


Malaysia perlu menaik taraf kependidikan di malaysia dengan mengiktiraf dan menghargai modal insan yang berpengetahuan sedia ada untuk menjadi pendidik di sekolah-sekolah kebangsaan setanding dengan negara-negara maju. Negara-negara maju terutama yang mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia seperti Finland, Singapura, atau Taiwan, telah meletakkan syarat asas untuk menjadi guru dengan mempunyai kelayakkan sekurang-kurangnya ijazah sarjana. Malahan, bagi mereka yang mempunyai ijazah doktor falsafah, diletakkan untuk mendidik kanak-kanak di peringkat pra-sekolah. Malah, kerjaya keguruan menjadi idaman dan cita-cita utama anak-anak kecil di sana.


Dalam skim perkhidmatan SBPA dan kini SSM Yang Ditambah Baik, skim yang ditawarkan dalam perkhidmatan awam dalam sektor pendidikan, bermula dari lepasan PMR, sehingga ijazah pertama sahaja. Ini bermakna, sekiranya seorang guru di sekolah mempunyai ijazah yang melebihi ijazah pertama (masters, atau PhD.), gred gaji yang diterima adalah sama, tidak mendapat apa-apa kenaikan tangga gaji atau apa-apa kelebihan dari aspek senioriti atau kekananan. Ini sangat ironi kerana dalam sektor pendidikanlah sewajibnya meletakkan standard yang tinggi untuk pendidik dan pada masa yang sama menyediakan dan mengiktiraf peluang kenaikan pangkat berasaskan kesarjanaan yang sudah pastinya berlandaskan faktor keilmuan.


Guru juga perlu fokus terhadap tugas utamanya iaitu mendidik, dan tugas-tugas bukan pengajaran perlu dikurangkan. Justeru, sistem pentadbiran di sekolah perlu diubah dengan mewujudkan jawatan pembantu guru / pembantu tadbir bagi tugas-tugasan pendokumentasian / pengkeranian / pengurusan borang-borang tertentu yang melemaskan. 


Bilangan guru lelaki perlu ditingkatkan di peringkat menengah untuk memastikan kawalan disiplin dapat ditingkatkan dan gaya pengajaran guru dapat membantu murid lelaki mengikuti pelajaran dengan berkesan.


Maka, kami mencadangkan agar:


  1. i.Profesyen kependidikan sekolah perlu dijadikan profesyen ulung dengan jaminan status yang tinggi, gaji permulaan yang tinggi dan laluan kerjaya yang baik, dan jelas. Justeru, perlu diwujudkan skim perkhidmatan pegawai pendidikan dan guru yang sesuai dan menarik.


  1. i.Laluan berasaskan masa (time-based) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini (8-8-6-3) adalah menambah baik skim sebelum ini, walaupun secara relatifnya masih rendah berbanding profesional lain. Justeru, skim berasaskan masa perlu ditambah baik berasaskan perkara berikut:


    1. a.Laluan berasaskan masa perlu skim yang berbeza daripada tingkatan sekarang (8-8-6-3) contoh: 41(biasa) - 44(kanan) - 48(kanan) - 52(wibawa) - 54&Jusa(Pendeta Guru) kepada tingkatan yang lebih panjang dan menarik bagi menjana prestasi tinggi dan jumlah guru yang ramai di samping memahami implikasi kewangan kepada negara seperti contoh: 41 – 44 – 48 – 50 – 52 – 54 – Jusa(Pendeta guru)  dengan formula masa (5 – 5 – 5 – 5 – 5 - 5) (selang 5 tahun untuk tingkatan selanjutnya)


    1. a.Kualiti pengajaran dan ilmu pengurusan tertentu perlu ditingkatkan apabila mencapai tingkatan yang selanjutnya dengan diberikan kursus khusus yang berkaitan.


    1. a.Syarat kenaikan berasaskan masa perlu diiringi dan diimbangi dengan prestasi semasa yang diukur oleh sumbangan akademik dan non-akademik di sekolah melalui tugasan berbentuk tambah nilai (value-added) seperti Kajian Tindakan, Lesson Study, tesis lapangan, pembentangan kertas kerja di dalam seminar dalam dan luar negara, dan khidmat komuniti mendidik masyarakat sekitar seperti dalam organisasi masyarakat (bukan tusyen atau kelas tambahan).


    1. a.Laluan kerjaya pentadbiran kependidikan pada peringkat KPM-JPN-PPD-sekolah perlu ditambah baik dengan pilihan yang menarik dan bersifat adil dengan diberi pilihan kenaikan berasaskan masa atau kenaikan berasaskan perjawatan yang lebih dihormati, seterusnya menarik untuk pegawai/guru berpengalaman dan pakar pendidikan untuk berkhidmat di KPM-JPN-PPD.


    1. a.Laluan kerjaya keguruan pakar mata pelajaran (subject-matter expert) perlu diwujudkan segera dengan autoriti pemilihan daripada KPM-JPN-PPD seterusnya ditempatkan sebahagian besarnya di PPD secara kenaikan tingkatan di JPN dan seterusnya di KPM (dalam Bahagian Pembangunan Kurikulum yang telah ditambah baik dan diperluaskan struktur dan fungsinya) serta lain-lain pusat latihan pendidikan seperti IPGM dan Institut Aminudin Baki (IAB).


    1. a.Calon guru hendaklah diambil daripada murid-murid cemerlang sebagai tarikan kepada laluan kerjaya yang menarik setanding dengan profesional lain. 


    1. a.Skim keguruan perlu bermula daripada lepasan STPM / Diploma sehinggalah kepada Ijazah doktor falsafah. Justeru, guru/pegawai pemegang ijazah sarjana diberikan insentif kenaikan tangga gaji tertentu, 5 hingga 8 tahun atau permulaan DG48, dan kenaikan 8 hingga 10 tahun untuk pemegang ijazah doktor falsafah atau permulaan DG52. Alternatif lain mungkin ada laluan kerjaya lain seperti cadangan di atas.


    1. a.Kursus latihan keguruan perlu menumpukan kepada Pengetahuan Pedagogi Kandungan (Pedagogical Content Knowledge) berbanding pengetahuan kandungan ilmu (content knowledge) atau dalam nisbah 70:30 supaya guru dapat peluang sebanyak mungkin untuk mempelajari pelbagai teknik penyampaian terbaik dalam suatu kandungan ilmu. Ini termasuk penyerapan FPK dalam P&P dan elemen nilai merentasi kurikulum.


    1. a.Kursus latihan keguruan perlu menumpukan kepada pembudayaan baru amalan terbaik P&P dengan membawa idealisme perjuangan penambah-baikan secara kreatif, kritis, dan inovasi dalam pendidikan; bukan semata-mata sekadar mampu mengikut sistem sedia ada di sekolah. Dengan kata lain, guru baru yang ditempatkan di sekolah perlu membawa budaya penyegaran dan pencerahan, bukan ditenggelami dengan budaya sedia ada di sekolah.


    1. a.Jawatan pembantu guru / pembantu tadbir guru perlu diwujudkan bagi skop tugas membantu tugas-tugas dokumentasi berkaitan keperluan guru seperti pengurusan borang-borang tertentu, data-data tertentu, penyediaan bahan-bahan P&P, dan yang seumpamanya. Tugas-tugasan sebegini semakin menjadi keutamaan terutama apabila datangnya arahan-arahan dari KPM-JPN-PPD yang memerlukan tindakan segera, dan berulang-ulang kali secara berterusan.


    1. a.Bilangan guru lelaki perlu ditingkatkan terutama pada peringkat sekolah menengah supaya menyeimbangi nisbah bilangan murid lelaki:perempuan di sekolah serta atas tujuan kawalan keselamatan dan disiplin di samping memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih sesuai dengan murid lelaki.


Penutup 


Pendidikan memainkan peranan yang amat penting dan kritikal untuk membangunkan generasi yang berupaya memelihara tradisi murni, maruah dan martabat bangsa. Pada masa yang sama, mampu memacu negara ke arah masyarakat Malaysia yang bertamadun dan maju mengikut acuan tempatan. Justeru, FPK adalah acuan yang serasi dengan hasrat dan aspirasi kita bagi menjayakan sistem pendidikan negara.


Perhatian utama transformasi adalah kepada pendekatan secara kreatif dan kritis dalam soal pentadbiran sistem pendidikan, penggubalan dan penulisan kurikulum termasuk pentaksiran, dan yang paling utama adalah pelaksanaan kurikulum itu sendiri. Lantas, islah dan tajdid terhadap pandangan sarwa dunia pendidikan di Malaysia perlu kepada dinamika yang menghubungkan nilai ketuhanan dan nilai dalam tamadun tinggi dunia yang menyumbang kepada umat manusia. Pada masa yang sama, memahami dan menggarap secara reflektif sumber budaya dan tamadun kita sendiri.


Sesungguhnya, pendidikan merupakan amanah yang sangat penting yang mesti dilaksanakan dengan sepenuh jiwa raga.