KPM dan MEITD komited Tingkatkan Pendidikan di Sarawak melalui JTBPP

Kuching, 23 Februari - Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) Negeri Sarawak telah dilangsungkan di Kuching pada Khamis dengan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Dato' Sri Roland Sagah Wee Inn.


JTBPP diwujudkan khusus untuk mengatasi isu-isu pendidikan yang berbangkit di Sarawak, selaras dengan saranan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Perjanjian Malaysia (MA63) Mengenai Isu Pembangunan Pendidikan dan Kesihatan di Negeri Sarawak dan Sabah.


Beberapa agenda penting telah dibincangkan dalam mesyuarat JTBPP kali pertama ini termasuk penambahbaikan sumber manusia, operasi pendidikan dan pembangunan infrastruktur di Sarawak.


Antara keputusan penting yang telah dicapai menerusi mesyuarat ini termasuk persetujuan memberi perwakilan kuasa melulus projek penyelenggaraan sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak atau mana-mana pihak lain selain Kerajaan Persekutuan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, tertakluk kepada garis panduan yang sedang berkuat kuasa.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) sentiasa komited memastikan pendidikan di Sarawak dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua murid.

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1Xl1nfYbEjMYj7lcZ6GKx0s5lRqbe1EXw