KUCHING: Sebuah karnival yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan minat murid-murid terhadap pendidikan Islam dan bahasa Arab telah berlangsung di Hotel Merdeka Palace pada 03 Februari 2024.
Karnival Insaniah yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab SK St. Thomas Kuching ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, antaranya ahli politik, pihak berkuasa dan masyarakat setempat.
Karnival ini dahulunya dikenali sebagai Majlis Khatam al-Quran yang menjadi kontroversi kerana tular surat pihak diocese yang tidak membenarkan panitia menganjurkan majlis ini di dewan sekolah.
Surat tersebut yang bertarikh 21 Disember 2023 ditulis oleh pegawai pendidikan diocese, Revd Robin Sabai, kepada guru besar sekolah, menyatakan bahawa majlis tersebut tidak dibenarkan kerana ia bertentangan dengan dasar sekolah yang beragama Kristian.
Surat tersebut telah menimbulkan kemarahan dan kekecewaan di kalangan ibu bapa dan masyarakat yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak adil dan tidak menghormati kepelbagaian agama di Sarawak.
Namun, isu ini telah diselesaikan secara aman selepas mesyuarat antara Uskup Anglikan Sarawak dan Brunei, Datuk Danald Jute, dengan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada 10 Januari 2024.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak diocese telah bersetuju untuk membenarkan panitia mengadakan majlis tersebut di tempat lain, dan panitia telah memilih Hotel Merdeka Palace sebagai lokasi baru.
YB Dato Idris Buang, Timbalan Speaker Sarawak dan Puan Atiqah Syairah, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, turut hadir untuk menyempurnakan majlis yang bertemakan "Membina Jati Diri Melalui Pendidikan Islam dan Bahasa Arab".
"Kami menghargai usaha panitia dalam mempromosikan keharmonian dan kepelbagaian di Sarawak melalui pendidikan Islam dan bahasa Arab. Ini adalah sejajar dengan visi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri yang maju dan harmonis," kata YB Dato Idris Buang dalam ucapan perasmian.
Beliau juga menyumbang sebanyak RM10,000 kepada panitia, sama seperti sumbangan yang diberikan oleh YB Fadhlina Sidek melalui Setiausaha politiknya.
Selain itu, En Les Anak Met, wakil daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, juga turut hadir memberikan sokongan terhadap sebagai tanda keharmonian dan kepelbagaian majmuk dalam bingkai kesatuan di Sarawak.
Karnival ini juga telah menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan yang menarik, antaranya angklung dan marhaban. Para peserta dan penonton turut dihidangkan dengan hidangan yang disediakan oleh jawatankuasa hasil daripada sumbangan masyarakat setempat.
Ibu bapa SK St. Thomas Kuching, berkata bahawa karnival ini adalah hasil daripada kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu menjayakan karnival ini, terutamanya kepada YB Dato Idris Buang, YB Fadhlina Sidek, En Les Anak Met, pentadbir sekolah dan masyarakat setempat. Kami juga berterima kasih kepada para peserta, penonton, dan pihak hotel yang telah memberikan layanan yang baik kepada kami," katanya.
Beliau juga berharap agar karnival ini dapat menjadi satu platform untuk mengukuhkan hubungan antara sekolah, ibu bapa, masyarakat, dan pihak berkuasa, serta untuk mewujudkan jati diri yang kuat melalui pendidikan Islam dan bahasa Arab.
Dengan berakhirnya karnival ini, isu kontroversi yang berlaku sebelumnya juga diharapkan dapat ditutup dengan baik dan tidak menjejaskan hubungan antara pihak sekolah dan diocese, serta antara pelbagai agama dan kaum di Sarawak.